Paroi, 14 Januari 2014 – Program Kasih itu Inspirasi (KISS) : Tenda Cinta yang berkonsepkan santai menjadi ruang belia untuk mengekspresi kasih dan cinta kepada negara dalam nada kreatif. Program ini yang dihadiri oleh 100 orang belia dari Negeri Sembilan telah berlangsung pada 2.30 petang di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi, Negeri Sembilan.
Program bermula dengan persembahan akustik dan lagu puisi oleh kumpulan The Shaleiley yang dianggotai oleh lima orang anak muda dari Kajang. Kumpulan ini banyak menyentuh tentang pentingnya keseimbangan di dunia dan akhirat.
Segmen Bicara Cinta Anak Muda – disampaikan oleh Sdr Syamsul Amri, Presiden Alumni Debat Malaysia. Dengan teknik penceritaan dan penggunaan loghat tempatan, Sdr Shamsul berjaya memikat tumpuan peserta dalam menyampaikan makna di sebalik cinta yang sering dilafazkan. Antara mesej lain adalah peringatan kepada para remaja mengenai pergaulan dan realiti kehidupan.
Segmen kreatif – hadirin telah dihiburkan dengan puisi alunan orang muda The Shaleiley yang menampilkan 2 buah puisi cinta gubahan sendiri sambil diiringi petikan gitar.
Sketsa Cinta yang disampaikan oleh Ustaz Nafaiz dan Ustaz Amir yang bercorak santai menyampaikan mesej mengenai rasul dan sifat positif yang boleh dicontohi anak muda.
Program diteruskan dengan deklamasi sajak oleh Sdri Nurul Azma Shafiqah Khairul Azhar (Persatuan Asrama Belia Malaysia), Puan Zuliyana Mohd Ridzuan (Ketua Puteri Negeri Sembilan), dan Puan Suhazlina Mohd Samsudin (Dewan Bahasa dan Pustaka).
Puan Wan Salwati Hj Abdullah selaku Naib Presiden Majlis Belia Malaysia merangkap Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Wanita dan Keluarga MBM. Presiden MBM, Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee turut berkesempatan mengalunkan puisi sebagai simbolik penutupan program. Program turut diselitkan dengan acara cabutan bertuah.