Tokyo, 9 Jun 2026 – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan sesi dialog bersama pelajar Malaysia di bawah Malaysia Student Association Japan (MSAJ) di Malay Asian Cuisine, Tokyo, sebagai sebahagian daripada program Global Youth Engagement Mission (GYEM) Tokyo Chapter.
Sesi tersebut menghimpunkan 10 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di beberapa universiti sekitar Tokyo. Turut hadir ialah YBhg. Sdr Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, bersama delegasi MBM yang diketuai oleh Sdr Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden MBM.
Dalam sesi dialog tersebut, MBM dan para pelajar bertukar pandangan mengenai pembangunan belia, kepimpinan mahasiswa, cabaran pelajar Malaysia di luar negara serta peluang penglibatan mereka dalam gerakan belia nasional.
Sdr Mohd Izzat Afifi menekankan kepentingan mahasiswa untuk terus aktif dalam persatuan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti bagi membina kemahiran kepimpinan serta jaringan yang bermanfaat kepada masa depan negara. Beliau turut mengajak pelajar yang bakal pulang ke Malaysia untuk terus menyumbang melalui penglibatan dalam pertubuhan belia.
Sementara itu, YBhg. Sdr Kamil Abdul Munim berkongsi intipati syarahan khas YAB Perdana Menteri di The University of Tokyo berkaitan kepentingan menyeimbangkan kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dengan nilai kemanusiaan, etika serta tanggungjawab sosial.
Sesi dialog berlangsung dalam suasana santai dan mesra, sekali gus menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara MBM dan komuniti pelajar Malaysia di Jepun. Program ini turut memperkukuh jaringan kepimpinan belia Malaysia di peringkat antarabangsa selaras dengan matlamat GYEM Tokyo Chapter.













