Sik, Kedah, 7 Oktober 2012 – Sukarelawan merupakan aktiviti yang mulia, lebih-lebih lagi apabila ia banyak melibatkan golongan belia muda dalam masyarakat kita. Tetapi, sejak kebelakangan ini semangat sukarelawan di kalangan belia semakin pudar. Justeru, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah merancang mengadakan Kursus Transformasi Sukarelawan Sahabat Belia Malaysia yang bakal diadakan di empat zon iaitu zon utara, tengah, selatan dan timur.
Program pertama telah diadakan di zon utara pada 5 hingga 7 Oktober yang lalu. Program ini diadakan bertujuan untuk melatih para sukarelawan secara lebih sistematik dalam merancang, melaksana dan menilai program serta untuk mengenalpasti keupayaan, idea dan tenaga untuk disalurkan kepada hal-hal yang boleh mendatangkan faedah kepada individu dan masyarakat disamping menyediakan individu sebagai sumber yang penting untuk pembangunan negara. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menubuhkan satu petugas sukarela yang akan membantu menjayakan program dari masa ke masa.
Program yang melibatkan 80 orang peserta ini banyak menerapkan dan memupuk nilai- nilai murni seperti semangat kerjasama, sikap kepimpinan, disiplin diri, pengurusan masa yang betul dan sikap kasih sayang. Para peserta juga telah didedahkan dengan pengisian aktiviti-aktiviti yang menarik yang berunsurkan kesukarelaan seperti membersihkan kawasan Masjid Nurul Iman di Kampung Kuala Beris, Sik Kedah. Selain itu, slot forum juga telah diadakan dan dihadiri oleh Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Presiden Majlis Belia Negeri Kedah dan Presiden Majlis Belia Malaysia merangkap Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang sebagai ahli panel.
Program yang diadakan di D’Puncak Beris Lake Resort, Tasik Beris ini telah memberi peluang kepada para belia untuk memberi cadangan mereka untuk mengadakan program di masa hadapan dengan membuat kertas kerja dalam kumpulan sekaligus membentangkannya kepada kem komandan pada hari tersebut.