Majlis Belia Malaysia (MBM) mengalu-alukan keputusan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengembalikan Pendidikan Sivik di dalam Pendidikan negara ini sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam pelancaran Pendidikan Sivik sempena Majlis Pendidikan Sivik Kebangsaan 2019.
Pendidikan Sivik pernah dijadikan satu subjek khusus bermula pada tahun 2005 dan kemudiannya dimansuhkan pada tahun 2013 bagi Sekolah Rendah dan tahun 2017 bagi Sekolah Menengah.
Pendidikan Sivik yang bakal diperkenalkan ini akan diserapkan di dalam Subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral adalah amat baik kerana tidak akan membebankan murid dengan subjek baru serta akan tidak akan meningkatkan kos bagi Kementerian.
MBM melihat pengenalan semula Pendidikan Sivik adalah tepat pada masanya khususnya apabila kerajaan telah menurunkan had umur mengundi kepada umur 18 tahun. Pendidikan Kewarganegaraan sudah tentunya antara aspek yang akan diterapkan didalam Pendidikan Sivik yang baru dilaksanakan ini dan diharapkan penerangan berkenaan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan diberikan penekanan.
MBM juga berharap agar konsep Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang menjadi asas kepada Kenegaraan Malaysia turut diberi keutamaan di dalam Pendidikan Sivik ini. Ini termasuklah memaparkan toleransi yang diamalkan oleh pengasas negara ini khusus di dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada Kenegaraan Malaysia.
Penekanan kepada nilai murni sepertimana yang dinyatakan di dalam Teras Pendidikan Sivik juga amatlah tepat dan kena pada masanya. Ini juga bertepatan dengan nasihat yang sering diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamed berkenaan nilai nilai murni yang harus ditekan di dalam pendidikan, berbanding hanya berteraskan peperiksaan dan markah semata mata sementelah ia juga merupakan intipati kepada Dasar Pandang Ke Timur yang sering dilaung-laungkan oleh YAB Perdana Menteri.
Ucapan tahniah harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah YB Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik kerana pencapaian ini dan MBM juga sedia membantu di dalam memastikan Pendidikan Sivik dan Kenegaraan ini dapat mencapai matlamat dan hasratnya khususnya di sektor pendidikan tidak formal.
MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Pengerusi Biro Pendidikan MBM
Bertarikh : 14 Ogos 2019