MAJLIS BELIA MALAYSIA

Mansuh AUKU: Bawa Hasrat Reformasi Pendidikan Tinggi

Majlis Belia Malaysia menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), serta komitmen Menteri Pendidikan Tinggi untuk membentuk Akta Pendidikan Tinggi yang lebih komprehensif selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 20262035. Ini merupakan peluang penting untuk melaksanakan reformasi menyeluruh ke arah ekosistem pendidikan tinggi yang lebih matang, bebas dan bertanggungjawab.

MBM menegaskan bahawa pemansuhan AUKU tidak boleh sekadar menggantikan sebuah akta dengan undang-undang baharu yang masih mewarisi pendekatan dan semangat lama. Reformasi ini mesti menilai semula kerangka tadbir urus universiti, autonomi institusi, kebebasan akademik serta hak dan peranan mahasiswa. Kita tidak seharusnya menggantikan AUKU jika paradigma mengawal hanya diteruskan dalam wajah yang berbeza.

Justeru, MBM berharap penggubalan kerangka baharu dilaksanakan secara terbuka, inklusif dan bermakna dengan melibatkan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, pertubuhan belia, masyarakat sivil serta pakar perundangan. Libat urus tidak boleh bersifat simbolik, sebaliknya pandangan pemegang taruh mesti diberikan pertimbangan sewajarnya dalam pembentukan dasar dan perundangan. Reformasi ini perlu membawa perubahan paradigma daripada mengawal kepada memperkasa, dengan autonomi universiti, kebebasan akademik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan suara mahasiswa sebagai teras.

MBM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh generasi yang telah memperjuangkan kebebasan dan pemerkasaan mahasiswa, sama ada melalui gerakan kampus, wacana intelektual, advokasi masyarakat, ruang demokrasi mahupun meja rundingan. Pemansuhan AUKU bukan sekadar hadiah kepada mahasiswa, tetapi lahir daripada keberanian bersuara dan perjuangan panjang merentasi generasi. Ini satu pencapaian penting, tetapi bukan titik akhir perjuangan.

MBM bersedia menjadi sebahagian daripada proses reformasi ini. Akta Pendidikan Tinggi yang baharu mesti membawa pembaharuan sebenar, bukan sekadar perubahan pada nama dan struktur perundangan. Kejayaan reformasi ini bukan diukur pada pemansuhan sebuah akta, tetapi pada keberanian kita membina universiti yang mempercayai mahasiswa, menghormati kebebasan ilmu serta memberikan autonomi bersama tanggungjawab.

Menggerak Belia!

AHMAD FARHAN ROSLI

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 15 Ogos 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »