MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Berbuka Puasa Muhibbah & Solidariti Rakyat Malaysia Untuk Gaza

Putrajaya, 16 Julai – Sentimen agama yang bermain kebelakangan ini dilihat agak membimbangkan kepada perpaduan rakyat Malaysia. Isu yang melibatkan agama Islam dengan agama lain terutamanya Kristian merupakan isu panas yang mendapat perhatian meluas oleh media tempatan dan juga antarabangsa. Hal ini menjadi lebih teruk kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba memperbesarkan isu sensitif ini walaupun menyedari ia akan menimbulkan kesan-kesan negatif kepada rakyat dan juga negara.

Berikutan itu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) telah mengambil pendekatan yang wajar dicontohi iaitu dengan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Muhibbah yang bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Masjid Besi, Presint 3, Putrajaya. Program ini merupakan salah satu platform pertemuan dan penyatupaduan pelbagai agama di negara ini serta memberi peluang kepada penganut agama lain untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Dalam pada masa yang sama juga program ini turut dijadikan wadah untuk menunjukkan sokongan rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel.

“ Objektif program ini ialah meraikan permintaan dan permohonan rakan agama lain agar diadakan majlis untuk mereka melihat sendiri umat Islam mengerjakan ibadat puasa dalam bulan Ramadhan”, ujar Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden ABIM.

Majlis Berbuka Puasa Muhibbah yang disertai lebih 60 orang ini turut dihadiri oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; wakil Komuniti Sai Baba, Datuk J Jegathesan; wakil Council of Churches Malaysia (CCM); wakil Sentul Buddhist Vihara, Ven Saranankara; wakil Subang Jaya Buddhist Vihara; dan wakil Hindu Sanggam Council.

Sewaktu berucap dalam majlis tersebut malam tadi, Datuk J. Jegathesan telah menyatakan bahawa FGIS telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 20, 000 kepada rakyat Palestin di Gaza atas semangat kemanusiaan dan keharmonian agama.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »