MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Belia Orang Asli akan diwujudkan

AHMAD Daniar Ismal (kanan) bersama belia Orang Asli di Pos Senderut, Hulu Jelai, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 14 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) akan mewujudkan Majlis Belia Orang Asli (MBOA) di negara ini dalam menarik golongan itu aktif berpersatuan dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

Exconya, Ahmad Daniar Ismal, 34, berkata, sehubungan itu, jawatankuasa MBM bersama Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) akan menjelajah ke perkampungan Orang Asli bagi menjelaskan matlamat penubuhan itu dan dasar pembangunan belia.

Menurutnya, majlis tersebut akan melaksanakan program ‘turun padang’ ke Pos Orang Asli di pedalaman setiap negeri.

‘‘Hasrat MBM dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap kewujudan majlis itu dapat direalisasikan lebih cepat khususnya menyatukan belia minoriti terbabit berasaskan konsep 1Malaysia.

‘‘Belia kaum lain sudah mempunyai persatuan atau pertubuhan yang bergabung dengan MBM. Sudah sampai masanya belia Orang Asli disatukan menerusi pembabitan aktif dalam majlis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Ahmad, sehingga kini belia Orang Asli hanya menjadi ahli dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka disatukan menerusi persatuan di bawah kepimpinan sendiri dan program terancang.

‘‘Belia Orang Asli dapat merencanakan pembangunan ahli masing-masing berasaskan pemantauan MBM di samping mendokong dasar kerajaan mengenai program belia,” jelasnya.

Ahmad yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia menjelaskan, pihaknya akan membantu menggerakkan penubuhan MBOA di peringkat kawasan Parlimen dan cawangan menerusi program penjelajahan serta turun padang ke Pos Orang Asli di pedalaman.

Jelasnya, sehingga kini, empat persatuan belia Orang Asli di Pahang ditubuhkan dan pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dilaksanakan tahun ini.

‘‘Kita merancang mengadakan Konvensyen Belia Orang Asli pertama jika segala urusan pendaftaran ahli dan penubuhan persatuan tersebut di peringkat Parlimen dan cawangan selesai dilakukan,” katanya

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »