MAJLIS BELIA MALAYSIA

Konvoi Persahabatan Dan Khidmat Masyarakat Malaysia Thailand Cambodia Kukuh Hubungan Antara Asean

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah menganjurkan Program Konvoi Persahabatan Dan Khidmat Masyarakat (Malaysia-Thailand-Kemboja) Ke Arah Komuniti Asean 2015 bermula 1 hingga 10 Oktober 2014 yang lalu.

DCIM100GOPRO

Program tahunan sejak tahun 2012 ini  disertai seramai 100 orang belia yang akan merentasi Malaysia, Thailand dan Kemboja dengan melibatkan 23 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4). Program ini juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Luar Negeri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kelab 4×4 iaitu Kilo Lima Bravo Motorsport Club (KLMBC), Kedah Off Road Club dan Jatt Carera 4×4.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta khususnya generasi muda dalam mengangkat dan mempopularkan program kemasyarakatan antarabangsa. Selain itu peserta juga  merasai pengalaman merentasi negara-negara terbabit dengan menggunakan jalan darat sejauh 3,500km. Ini berlainan dengan penganjurannya sebelum ini, di mana peserta-peserta menggunakan pengangkutan kereta api dan bas untuk memasuki Kemboja.

Antara pengisian program semasa di Kemboja adalah seperti berikut;

  1. Sambutan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban

Seperti lazimnya, program ini diadakan sempena Hari Raya Aidil Adha seterusnya para peserta dapat merasai pengalaman menyambut hari raya selain melaksanakan ibadah korban bersama penduduk-penduduk kampung dengan kerjasama Jabatan Mufti Kemboja.

DCIM100GOPRO

  1. Tinggal bersama Keluarga Angkat

Peserta-peserta juga dapat merasai pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di Phum Spue iaitu salah sebuah kampung di dalam wilayah Kampung Cham.

DCIM100GOPRO

  1. Penyampaian sumbangan

Menyampaikan sumbangan kewangan kepada sekolah yang berada di dalam kampung ini yang dikenali sebagai sekolah An Nikmah. Sekolah ini di bawah kelolaan Jabatan Mufti Kemboja. Sumbangan ini digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah, membeli baju pelajar serta bayaran gaji guru.

DSC04260

  1. Dialog dan Forum

Pada tahun ini, aktiviti program ini telah ditambah dengan pengisian sesi dialog dan forum bertajuk “Ke Arah Komuniti ASEAN 2015” yang telah diadakan pada 6 Oktober 2014 di Seam Reap. Program ini melibatkan badan induk belia di Kemboja iaitu United of Youth Federation of Cambodia (UYFC). Program ini bertujuan mempromosi idea penubuhan Komuniti ASEAN dalam kalangan belia selain memperkukuh hubungan belia antara dua negara. Selain itu konvoi akan bersama UYFC untuk memberi sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin di sekitar Seam Reap. MBM telah diwakili sendiri oleh Timbalan Presidennya, Muammar Ghadafi Datuk Jamaludin, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Zaidi bin Aziz, Bendahari Kehormat, Sdr. Mahendran a/l Nadason serta Penolongnya, Sdr. Khairul Annuar b Mansor. Turut sama ialah Exco MBM Sdri. Haryaty Hamdzah, Sdri. Wan Adilah Wan Awang.

DCIM100GOPRO

Menurut Pengarah Program, Sdr. Wan Ahmad Sabri Yusof yang juga Exco MBM dan Timbalan YDP MBN Perlis, sebanyak 28 ekor lembu korban yang disumbangkan oleh orang ramai telah diagih-agihkan kepada masyarakat muslim Cambodia.

DCIM100GOPRO

Konvoi ini secara rasminya berakhir pada 10 Oktober 2014 dan disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Muzium Kota Kayang, Perlis pada jam 5 petang.

DCIM101GOPRO

Program ini dilihat mampu memberi impak yang bekesan kepada peserta terutama generasi belia apabila melihat keterbatasan kemudahan dan kemajuan di negara luar berbanding dengan negara sendiri. Program ini mampu memupuk semangat kerjasama kumpulan yang sangat tinggi dalam kalangan peserta serta meningkatkan semangat ‘One Asean’ dalam membantu golongan yang lebih memerlukan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »