PUTRAJAYA 17 Dis. – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan konvoi pacuan empat roda Jelajah Malaysia Pray For Gaza selama lima hari bermula hari ini.
Konvoi yang disertai 180 sukarelawan itu bertujuan membangkitkan sikap keprihatinan berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan warga Palestin akibat penindasan tentera Zionis.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan kementerian itu, Mohd. Nor Md. Said berkata, pihaknya mengalu-alukan penganjuran acara tersebut kerana keprihatinan rakyat terhadap warga Palestin tidak seharusnya berlaku secara bermusim.
“Konvoi ini dapat membangkitkan semangat pembelaan rakyat Malaysia ke atas nasib penduduk Palestin selain dapat menunjukkan kepada dunia bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman ke atas mereka.
“Malah dengan acara sebegini, rakyat Malaysia berpeluang menyumbang dana untuk disalurkan kepada warga Palestin,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah Malaysia Pray For Gaza di sini hari ini
Mohd. Nor yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kemudian mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan konvoi yang disertai 135 kereta pacuan empat roda.
Yang turut hadir, Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Presiden Kelab Redah 4×4, Hakasah Abu Hasib.
Konvoi Jelajah Malaysia yang turut mendapat kerjasama Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Aqsa Syarif akan singgah di Pasar Raya Mydin di 11 negeri dengan dijangka berakhir pada Ahad ini.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konvoi-jelajah-malaysia-pray-for-gaza-bermula-1.37759#sthash.oJ2su1tJ.dpuf