MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kisah Tun Abdul Razak bakal ke Eropah

KUALA LUMPUR 18 Mei – Program Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengkisahan yang diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk teater, pameran dan siri jelajah di seluruh negara pada Julai tahun lalu kini bakal dipanjangkan dengan siri jelajah ke benua Eropah pula.

Jelajah yang dinamakan ‘Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengkisahan Ke Benua Eropah Bersama Majlis Belia Malaysia (MBM)’ anjuran bersama MBM dan Orlaith Inc. Sdn. Bhd. (Orlaith) itu akan diadakan 6 hingga 18 Jun ini dan disertai seramai 45 belia.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, program tersebut adalah antara usaha yang dilakukan oleh MBM dan Orlaith dalam menjejaki penyalur pelbagai maklumat dalam menambah data sejarah tentang Tun Abdul Razak.

“MBM pada masa sama memainkan peranan penting membawa suara-suara berkaitan isu belia peringkat serantau dan ini akan dibincangkan pada sesi jelajah itu nanti.

“Tempat-tempat yang bakal kita lawati termasuklah United Kingdom, Belanda, Belgium, Luxembourg dan Perancis,” katanya.

Antara aktiviti yang bakal mengisi program 12 hari itu termasuklah persidangan antara belia-belia Eropah, sesi dialog, jalinan persefahaman, suai kenal kebudayaan antara negara dan taklimat, penerangan serta pameran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Orlaith, Azam Ismail Bakri pada majlis yang sama memberitahu, pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat bagi penghasilan buku Bapa Pembangunan dan dokumentari berkaitan program tersebut.

“Bukan itu sahaja, kita merancang untuk mengadakan program penuh termasuk pameran dan teater di seluruh negara tahun depan.

“Malah, salah satu acara kemuncak yang kita rancang ialah membawa persembahan teater Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengkisahan ke pentas Royal Albert Hall, London,” katanya lagi

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »