MAJLIS BELIA MALAYSIA

Khalid disaran tutup pusat urut, kilang haram

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran menutup pusat urut dan kilang-kilang haram yang wujud di negeri itu berbanding mengeluarkan arahan penutupan pusat latihan kemahiran GiatMara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kenyataan Abdul Khalid bahawa pusat latihan itu berada di tanah yang tidak mendapat kebenaran tidak wajar dijadikan alasan untuk menutup operasinya.

“Peranan penubuhan GiatMara secara jelas adalah untuk memberi latihan dan bimbingan kepada golongan belia termasuk anak negeri Selangor sendiri yang tidak bernasib baik dalam bidang akademi.

“Kami melihat arahan penutupan sebelum ini sangat prejudis dan alasan yang diberikan hanya merosakkan perkembangan belia, mengapa tapak GiatMara yang menjadi sasaran untuk diserahkan kepada pihak lain sedangkan negeri itu sangat luas dan mempunyai kawasan lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebelum ini mengarahkan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi sepucuk surat yang dikemukakan PTD Gombak kepada pengurus pusat latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu bertarikh 2 Disember 2013.

Tambah Mohamed Maliki, tindakan Abdul Khalid yang membabitkan kepentingan Melayu itu bukan pertama kali dilakukan kerana sebelum ini beliau enggan membenarkan pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah.

“Jika begini cara pentadbirannya, ternyata beliau tidak layak mentadbir Selangor kerana gagal mengotakan sumpah di depan sultan untuk memelihara Islam dan membela kepentingan kaum di negeri itu,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, Abdul Khalid perlu tegas dalam membuat keputusan agar tidak dilihat seperti ‘kerbau dicucuk hidung’.

“Sepatutnya sebagai menteri besar, beliau kena peka untuk membuktikan keberkesanan dalam mentadbir urus negeri tetapi Abdul Khalid tidak tegas apabila sering kali membuat keputusan yang merugikan orang Melayu,” ujarnya.

Katanya, jika benar Abdul Khalid mahu melaksanakan undang-undang, beliau dicabar untuk melakukannya secara adil.

“Diharapkan beliau bertindak seperti menteri besar yang sepatutnya dan bukannya sebagai kuda tunggangan pihak lain dalam membuat beberapa keputusan.

“Kalau betul mahu mengikut undang-undang, ambil tindakan juga terhadap peneroka haram daripada kaum lain yang bebas berkebun di negeri itu serta penggunaan tanah-tanah haram untuk mendirikan kuil,” tegasnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »