MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ketulenan kepimpinan PM tonggak BN

KUALA LUMPUR 7 Mac 2012 – Ketulenan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengemudi pucuk pimpinan kerajaan dan parti merupakan tunjang kekuatan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, keterbukaan Perdana Menteri mengakui kesilapan BN sehingga menyebabkan parti itu mengalami kekalahan pada pilihan raya umum lalu juga membuktikan ketulenan beliau dalam menerajui kepimpinannya.

Katanya, dengan mengakui kelemahan yang ada dan sedia untuk memastikan segala kesilapan diperbaiki, ia sedikit sebanyak dapat menarik kepercayaan dan memikat hati rakyat.

“Transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri meliputi semua bidang dan merangkumi semua kaum, jadi ia memberikan kelebihan kepada beliau sebagai seorang pemimpin dan mencerminkan kewibawaannya.

“Sentuhan yang dihulurkan oleh Najib juga sampai sehingga peringkat akar umbi iaitu semua lapisan masyarakat termasuk warga desa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menerusi wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada Ahad lalu yang menegaskan BN mempunyai kelebihan berbanding pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Tambah Mohamed Maliki, hubungan rapuh antara parti pembangkang juga dilihat memberi kelebihan kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka semakin hampir.

“Banyak kepincangan telah berlaku dalam pentadbiran parti pembangkang sedangkan mereka baru memegang kuasa tidak sampai sepenggal. Pas dengan masalah mereka begitu juga PKR dan DAP,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, perbezaan antara kerajaan dan pembangkang dapat dilihat dengan jelas apabila manifesto pembangkang masih banyak yang tidak ditunaikan.

Katanya, BN telah membuktikan kemampuan menjaga hak rakyat selain menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

“Pembangkang dilihat hanya pandai mengkritik dan usaha-usaha membangunkan negeri yang ditadbir juga tidak begitu menyerlah,” jelasnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »