KENYATAAN MEDIA
SMARTECH-Ri4 : INISIATIF AGENDA SOSIAL BELIA DAN
PILIHAN PENGGANTIAN PEKERJA ASING
Assalamualaikum dan Salam Belia Negaraku,
Sidang media hari ini adalah berkaitan dengan pengumuman AGENDA SOSIAL BELIA melalui PROGRAM SMARTECH-Ri4, sebuah inisiatif Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) bagi menggerakkan AGENDA SOSIAL BELIA.
Isu sosial dan jenayah di kalangan belia yang berpunca dari keciciran pendidikan, kemiskinan, akses latihan kemahiran yang terhad, pengangguran, kekurangan pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana, peluang kedua kepada belia berisiko seperti bekas banduan, pesalah juvana dan lain-lain wajar diberikan perhatian yang khusus dan intervensi harus dilaksanakan segera.
Sejak Tahun 2010, MBM telah melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu belia berisiko dengan pendekatan mewujudkan peluang kedua menawarkan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Inisiatif ini dipanggil Program 1Belia 1Kemahiran (1B1K). Pendekatan bekerjasama dengan 43 kolej kemahiran swasta telah berjaya membantu 4976 orang (setakat Disember 2016) dilatih dan diberi pekerjaan.
Bagaimana pun, masih berlaku Ketidaksepadanan kemahiran yang akhirnya berkait rapat dengan pengangguran dan kebolehkerjaan di kalangan belia. Ini juga menjadi penyebab belia berkenaan kembali kepada masa lalu dan akan menjadi ancaman sosial kepada masyarakat dan negara.
Menyedari hal itu, MBM & FKPB menggerakkan insiatif AGENDA SOSIAL BELIA menerusi idea latihan dan penempatan pekerjaan dengan kolaborasi industri. Kolaborasi industri merupakan salah satu kaedah untuk menangani ketidaksepadanan kemahiran seterusnya mengurangkan pengangguran di kalangan belia dan kebergantungan kepada pekerja asing di Malaysia.
Program ini dikenali sebagai SMARTECH-Ri4. Program SMARTECH-Ri4 membawa maksud “SMART TECHNICIAN IN REVOLUTION INDUSTRY 4.0”. Ianya adalah sebuah latihan kemahiran PERCUMA dan peserta akan ditawarkan PEKERJAAN dengan syarikat/industri yang bekerjasama di dalam program ini.
Peserta program akan menjalani latihan kemahiran secara percuma selama 9 bulan di mana pecahannya 1 bulan di Pusat Latihan dan 8 bulan di syarikat / Industri yang bekerjasama di seluruh negara.
Pengisian Latihan 1 Bulan: Pembangunan Insaniah seperti keselamatan / Komunikasi / Etika Kerja dan, manakala 8 Bulan: Latihan Kemahiran Teknikal ditempat kerja sebenar berasaskan keperluan industri
Sektor industri yang terlibat dalam inisiatif ini ialah:
- Jaminan Kualiti Industri
- Elektronik
- Pemesinan & Peralatan
- Perkhidmatan Logistik
- Industri Pembuatan Makanan
- Industri Pembungkusan
- Pembuatan Kenderaan
- Industri Telekomunikasi
- Peruncitan & Khidmat Pelanggan
Sepanjang latihan, perantis/peserta akan menerima elaun minima RM450.00 sebulan termasuk asrama percuma. Tamat latihan, peserta akan ditawarkan pekerjaan dengan gaji pokok RM1500.00.
Seramai 5000 orang belia berumur 18-40 tahun dari pelbagai kumpulan sasar akan diberi peluang menyertai program ini. Bilangan ini dijangka akan bertambah dengan penglibatan lebih banyak industri.
Pengambilan Kumpulan Pertama akan melapor diri pada 8 Januari 2018. Pengambilan peserta di adakan pada setiap bulan sepanjang tahun 2018. Kami juga mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama dengan kami dalam menyalurkan maklumat inisiatif ini kepada golongan belia dan masyarakat.
Menerusi inisiatif ini, MBM dan FKPB berkeyakinan kita akan mampu mengurangkan isu kebergantungan kepada pekerja asing, ketidakmampuan bayaran balik pinjaman pendidikan kerana program ini adalah percuma tanpa melibatkan pinjaman, isu “mismatch” dengan industri dan peluang kedua belia berisiko.
Sekian, terima kasih
JUFITRI JOHA
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 22 Disember 2017
Telefon : (017) 3533625
Emel : jufitri1979@yahoo.com