Thursday, 06 May 2010
Putrajaya, 4 Mei 2010 – Sokongan padu rakyat Malaysia merupakan asas utama dalam misi pasukan badminton negara merampas kembali Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan akan berlangsung di Bukit Jalil pada 9 hingga 16 Mei 2010. Bagi menzahirkan sokongan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Persatuan Belia Prihatin Malaysia sedang mengadakan kempen mengumpul 1,000,000.00 Tandatangan Sokong Pasukan Malaysia bermula pada 4 Mei hingga 8 Mei nanti. Kempen yang turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) bukan sekadar untuk mendapatkan tandatangan dari rakyat Malaysia, malahan juga secara tak langsung bertujuan untuk mempromosikan kejohanan ini yang ternyata agak kurang mendapat perhatian masyarakat kita.
Kempen ini telah dilancarkan oleh YB Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan disaksikan oleh Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden MBM di majlis Sidang Akhbar di KBS. Turut sama dalam majlis tersebut ialah barisan Exco MBM, Ahli Dewan Tertinggi MBM serta barisan kepimpinan Persatuan Belia Prihatin. Pada majlis ini juga, borang-borang tandatangan turut disedarkan kepada badan gabungan MBM. Jika anda ingin turut sama menyatakan sokongan ini, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pejabat Sekretariat MBM bagi mendapatkan borang tersebut.