MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kembali kepada al-Quran, sunah bila berbeza

KUALA LUMPUR 24 April – Umat Islam perlu membebaskan diri daripada sikap suka menuduh dan melabelkan antara satu sama lain sehingga terheret ke lembah kehancuran dan kehinaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, umat Islam yang bersaudara juga seharusnya akur dengan perbezaan yang wujud antara manusia, namun pada masa sama tidak sesekali mencemarkan persaudaraan sesama sendiri.

Justeru titah baginda, umat Islam hendaklah kembali kepada Allah dan rasul iaitu dengan merujuk kepada ajaran al-Quran dan sunah apabila berlaku perbezaan pendapat.

“Apa yang perlu kita belajar dan pertingkatkan adalah cara untuk memahami antara satu sama lain, berlapang dada dengan perbezaan, sudi mendengar dan bertukar-tukar fikiran dalam suasana yang harmoni dan penuh ketamadunan,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Berpegang Kepada al-Quran dan Sunah, di sini malam tadi.

Hadir pada majlis itu ialah Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As- Sudais; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penyelarasan tindakan dan pelaksanaan yang berorientasikan syura serta penghayatan nilai-nilai sejagat akan menjadi kunci kekuatan umat Islam.

“Insaflah bahawa sebarang perbalahan hanya membawa kerugian. Sangkaan buruk dan sikap suka menuding jari hanya akan mencetuskan permusuhan.

“Dalam sejarah, bukan sedikit perbalahan, penyeksaan dan pembunuhan berlaku hanya disebabkan perbezaan antara umat yang sebenarnya remeh-temeh, bukan terlalu besar dan masih boleh dirunding atau ditangani dengan harmoni,” titah baginda.

Baginda bertitah, kebijaksanaan dan sikap saling menghormati sangat penting dalam kehidupan manusia agar sejarah yang pahit itu tidak berulang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm&arc=hive

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »