MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kelainan sambutan Hari Belia Negara 2014

SEREMBAN – Kementerian Belia dan Sukan akan membuat beberapa pembaharuan pada sambutan Hari Belia Negara tahun ini dengan memulakannya di peringkat daerah, sebelum diteruskan di peringkat negeri dan kemuncaknya Festival Belia Putrajaya.

Sambutan Hari Belia Negara tahun ini akan berlangsung di Putrajaya dari 22 hingga 25 Mei ini, kata menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sambutan di peringkat daerah dan negeri bertemakan ‘Jom Ke Putrajaya’, manakala tema keseluruhan sambutan pula ialah ‘Dari Belia Untuk Belia’, katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Belia peringkat daerah Seremban 2014 di Kampung Labu Hilir, dekat sini, hari ini.

“Saya telah membuat keputusan untuk kita ‘mengakarumbikan’ sambutan hari belia bermula dari peringkat daerah, kemudian ke peringkat negeri dan selepas itu baharulah Festival Belia Putrajaya yang menjadi acara kemuncak sambutan Hari Belia Negara tahun ini,” katanya.

Khairy berkata, pendekatan baharu yang lebih mesra ini diharap akan mendapat penglibatan golongan belia di seluruh negara.

“Pendekatan ini saya rasa lebih mesra sebab kita dapat beri peruntukan sampai ke peringkat daerah untuk menganjurkan program dan acara. Saya melihat pendekatan ini amat diperlukan sebab sebelum ini kita melihat sambutan hari belia ini menjadi kemuncak bagi acara belia tahunan di mana terlalu banyak tertumpu kepada Putrajaya,” katanya.

Bersempena sambutan itu, Konvensyen Hari Belia anjuran Majlis Belia Malaysia akan diadakan pada 15 Mei. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kelainan-sambutan-hari-belia-negara-2014-1.274491

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »