KUALA LUMPUR 11 Mac 2012 – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) diminta memberikan pengecualian caj bil air bulan ini terhadap mangsa banjir di sekitar ibu negara dan pinggir bandar pada Rabu lalu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin masyarakat tempatan supaya membuat permohonan rasmi kepada Syabas.
“Saya akan membawa perkara ini dan memperjuangkan bagi pihak penduduk tempatan yang menjadi mangsa banjir. Pihak Syabas juga didesak supaya mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan air bagi penduduk minum dan membasuh.
“Dalam soal ini diharap agar tiada yang melihat dari aspek kepartian kerana apabila bencana datang ia tidak kira orang itu ahli UMNO, Pas, PKR, DAP dan sebagainya. Kita perlu melihat daripada aspek kemanusiaan yang lebih luas lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat bagi meninjau bentuk kerosakan yang berlaku di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MyCorps, Ashraff Rahman; Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo; Ketua Pemuda UMNO, Bahagian Ampang, Safarizal Mustafa dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Zaidi Aziz.
Ahmad Shabery turut melihat gerak kerja yang dilakukan belia-belia yang menghulurkan bantuan daripada segi kerja-kerja sukarelawan kepada mangsa banjir.
Lebih 300 sukarelawan sudah digerakkan di bawah iVolunteer yang dipimpin oleh anggota sukarelawan Mycorps.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery yang merupakan Menteri Belia dan Sukan mengucapkan terima kasih kepada persatuan-persatuan belia seperti MBM, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuala Langat yang bersifat proaktif.
“Sebelum ini, selalu banyak gerak kerja dibuat di luar negara, tetapi bila berlaku dalam negara tidak ramai yang bertindak cepat. Kini, sudah berlaku gerakan di bawah iVolunteer yang tidak kira dari persatuan dan gerakan mana bagi menghulurkan bantuan,” jelasnya.
Menurut Ahmad Shabery, pihak Majlis Keselamatan Negara sudah memaklumkan bahawa mereka akan mendaftar nama mangsa banjir yang terlibat untuk memberi bantuan segera dalam bentuk wang tunai.
“Kemudian kita akan membuat penilaian dengan panduan kepimpinan tempatan untuk bantuan- bantuan lain yang diperlukan,” ujarnya.