MAJLIS BELIA MALAYSIA

KDN: Beberapa jam sahaja untuk rekrut anggota IS

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, kumpulan pengganas seperti IS pada masa kini hanya memerlukan beberapa jam sahaja untuk merekrut anggotanya termasuk di negara ini.

Malah katanya, modus operandi pengganas sekarang sangat mesra teknologi maklumat (IT) yang membolehkan gerakan itu ‘hidup’ tanpa mengira batas sempadan.

“Jika dulu Jemaah Islamiah (JI) mengambil masa setahun untuk mengkader anggota baharu sebelum mereka menjadi ‘full fledge’ anggota kumpulan tersebut tapi hari ini, IS hanya ambil masa beberapa hari atau beberapa jam sahaja.

“Proses bai’ah mereka pula hanya menerusi media sosial iaitu Yahoo Messenger dan Facebook tanpa perlu kehadiran fizikal.

“Selama ini gerakan IS boleh hidup kerana internet menjadi talian hayat untuk berhubung mencari ahli baru,” katanya pada ucapan perasmian Kempen Belia Tolak Ekstremisme: Himpunan Menangani Gejala Ekstremisme dan Solidariti Kemanusiaan Syria di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau memberitahu bahawa berdasarkan pendedahan suspek yang ditahan polis, kebanyakan remaja yang terpengaruh dengan propaganda IS adalah dari kalangan yang mempunyai masalah keluarga, kewangan, psikologi dan sosial.

“Mereka mencari jalan pintas untuk menghapuskan dosa lampau melalui penglibatan dalam IS khususnya pengeboman bunuh diri.

“Tidak dinafikan ada juga yang terpengaruh dengan ayat al-Quran dan Hadis yang sengaja disalah tafsir oleh IS sebagai justifikasi penglibatan mereka dalam keganasan kononnya dihalalkan oleh Islam,” katanya.

Katanya, usaha memerangi gejala IS ini memerlukan strategi yang berbeza.

“Kita juga harus sedar usaha memerangi IS tidak hanya di medan tempur tetapi juga di medan sosial. Musuh yang diperangi ini bukan lagi calang-calang musuh seperti musuh konvensional.

“Kita perlukan strategi berbeza. Pendedahan tentang rekrut rakyat Malaysia untuk berjuang di Iraq dan Syria boleh diibarat sebagai ‘tip of the iceberg’.

“Cabaran paling mendesak sekarang ialah bagaimana untuk mengekang pengaruh serta fahaman IS ini daripada bertapak di negara kita,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »