KUALA LUMPUR 17 Mac 2012 — Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta kerajaan agar menilai kembali keputusan berkenaan amah dari Indonesia hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata ketetapan tersebut akan menimbulkan kesukaran dan membebankan pihak majikan di negara ini.
“MBM melihat hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia seperti berat sebelah dan banyak menguntungkan amah, sebaliknya membebankan pihak majikan.
“Dalam tempoh jangka panjang, MBM berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk beralih kebergantungan pembantu rumah dari Indonesia kepada negara-negara lain yang bersesuaian dan tidak mengenakan syarat ketat. — BERNAMA
Last Updated ( Saturday, 17 March 2012 22:21 )