Program Jelajah Imarah Ramadhan adalah inisiatif MBM bersama KBS bagi meringankan bebanan kepada golongan yang memerlukan. Siri jelajah ini bermula di negeri Sarawak pada 11 Jun dan seterusnya ke negeri Pulau Pinang, Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan berakhir di Sabah dari 16 Jun hingga 27 Jun 2016. Jelajah ini juga mendapat kerjasama daripada Majlis Belia Negeri-Negeri dan Majlis Belia Daerah yang mendapat sambutan memberangsangkan.
Turut hadir sama dalam jelajah imarah ramadhan ini adalah Presiden MBM Tuan Hj. Mua’amar Ghadafi, SUA MBM Sdr. Ahmad Saparudin Yusup, Presiden-Presiden Majlis Belia Negeri-Negeri, barisan pimpinan MBM, barisan Exco MBM dan peserta konvoi jelajah sebanyak 5 buah kenderaan.
Antara golongan sasaran bantuan yang disumbangkan adalah kepada ibu-ibu tunggal, keluarga asnaf dan anak-anak yatim. Selain itu juga disampaikan sumbangan juadah bersahur kepada petugas-petugas Badan Uniform Kerajaan seperti Polis, Bomba dan juga kepada petugas-petugas di Hospital.
Selain menyampaikan sumbangan, turut diadakan ziarah ke rumah Cikgu Azahar Hassan Pengerusi MAYC Perlis yang ditimpa musibah, ziarah Pondok Pasir Tumboh dimana sebelum ini berlaku kebakaran di asrama muslimah, menziarahi keluarga Allahyarham Saiful Mazram Mantan Timb. Pengerusi GB4B Kuala Terengganu dan menziarahi mangsa bencana kebakaran di Kampung Tanjung Kapur, Kudat Sabah.
Konvoi Jelajah ini juga berkesempatan melawat Sangkar Ikan Patin Persatuan Ternak Ikan Air Tawar Kuala Triang (PIAT) yang diusahakan oleh Sdr. Azmi Md Yaman (Pengerusi PIAT).
“Presiden MBM memberitahu Jelajah Imarah Ramadhan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silatulrahim antara kepimpinan peringkat pusat dan kepimpinan akar umbi belia di seluruh Negara.
Mengajak kepimpinan belia selain beribadah di bulan puasa,kita mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dan inilah yang dituntut oleh agama kita.
Dalam kita hendak menjadi orang berjaya di dunia dan di akhirat kita perlu ada 2 hubungan ini iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama Manusia”.