SHAH ALAM 23 Dis. – Golongan muda disaran menghindarkan diri daripada menyertai Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember ini sebagaimana yang dipaparkan di dalam laman web dan blog tertentu.
Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Klang, Haizee Mohd. Salleh berkata, banyak lagi program berfaedah yang boleh dilakukan pada hari tersebut berbanding menyertai program yang boleh memudaratkan mereka.
“Anak-anak muda khususnya di Klang dan di negara ini jangan libatkan diri dengan aktiviti yang boleh menimbulkan suasana yang boleh memporak perandakan negara ini.
“Kita perlu memelihara keharmonian negara dengan menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan rasa tidak puas hati, bukannya bertindak melakukan perhimpunan yang kononnya aman tetapi boleh bertukar menjadi insiden yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama tujuhpertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Belia 4B, Muhammad Ali Zakariah dan 30 orang wakil Kelab Belia Tamil, Pergerakan Pemuda UMNO Kota Raja, UMNO Taman Desa Utama, Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya, Persatuan Pengakap Klang dan UMNO cawangan Teluk Menegun.
Muhammad Ali pula berkata, sepatutnya pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan saluran yang tepat untuk menyampaikan rasa hati bukannya memilih untuk menimbulkan huru-hara di jalanan.
“Kita ada saluran demokrasi berparlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap sebarang masalah tidak kira isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), isu kenaikan tol dan tarif elektrik.
“Langkah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang tidak berpuas hati ialah dengan menyuarakan pandangan kepada kementerian dan syarikat terlibat, mengapa orang lain termasuk golongan muda turut dibabit sama,” katanya.
Kesemua NGO yang membuat laporan polis tersebut melaungkan sokongan kepada keamanan dan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai pemimpin yang dipilih secara demokrasi.
© Utusan Melayu (M) Bhd