Oleh Magendran Rajagopal
2011/02/12
PUTRAJAYA: Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara (HBN) 2011 akan menjadi persada bagi golongan terbabit mengenengahkan jenama, produk, kemahiran bakat dan minat masing-masing untuk tatapan umum, sekali gus membuktikan mereka juga anggota masyarakat yang berupaya menyumbang kepada kemakmuran negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata belia masa kini adalah aset bernilai kepada negara kerana merekalah yang bakal mewarisi negara dan menentukan keutuhan dan kekuatan dari segi sosial, politik serta melakar hala tuju ekonomi masa depan.
Atas kesedaran itu dan bersempena Sambutan Hari Belia pada 15 Mei ini, kementeriannya akan mengadakan karnival Himpunan Sejuta Belia antara 27 hingga 29 Mei ini dengan kira-kira 200 kegiatan diatur sepanjang tiga hari di sekitar Putrajaya berbanding hanya 88 kegiatan ketika karnival yang sama diadakan buat julung kali tahun lalu.
“Konsepnya juga berbeza kali ini kerana selain bersuka ria, kita mahu belia mencari peluang memasarkan keupayaan masing-masing. Ini adalah hari mereka, peluang menampilkan kewibawaan mereka. Kementerian hanya bertindak sebagai fasilitator dan pemerhati saja.
“Kira-kira 11.9 juta belia di negara ini harus diletakkan dalam arus pembangunan perdana negara dan memberi mereka tanggungjawab untuk memajukan negara dengan sokongan semua agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Konsep 1Belia 1Malaysia berjaya menterjemahkan potensi dan bagaimana kita boleh mengeksploitasi tenaga belia ini. Kejayaan Hari Belia Negara 2010 adalah faktor pendorong utama bagi kesinambungan sambutan seumpama ini pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Sekretariat HBN, di sini, semalam.
Serentak dengan pelancaran itu, Ahmad Shabery turut melepaskan Konvoi Jelajah Negara anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi mempromosi acara sambutan sempena Hari Belia Negara 2011. Konvoi 10 kereta itu akan menjelajah ke seluruh negara sehingga 10 April ini.
Majlis yang sama juga menyaksikan penyampaian peruntukan bantuan pentadbiran tahunan 2011 berjumlah RM4.3 bilion termasuk RM1.78 bilion kepada 13 Pertubuhan Belia Kebangsaan; RM600,000 bagi 12 Majlis Belia Negeri manakala 66 Majlis Belia Daerah pula menerima RM1.92 bilion.
Tema sambutan kali ini, ‘Sejuta Peluang, Seribu Keriangan’ menyasarkan untuk mengumpul sejuta belia di Putrajaya sepanjang karnival tiga hari dengan pelbagai pengisian berbentuk pertandingan, kerohanian, keilmuan, persembahan dan pertunjukan.
Setakat ini, 463 agensi kerajaan, swasta dan NGO sudah menyatakan kesediaan menyertai pelbagai acara sambutan, manakala masih ramai belia yang memohon untuk mengadakan pelbagai acara walaupun pihak Kementerian Belia dan Sukan sudah mengehadkan kepada 200 kegiatan saja.
Antara acara tumpuan ialah perhimpunan Persatuan Bulan Sabit Merah dan Rentap Futsal II yang masing-masing membabitkan 20,000 peserta, Jambori Pengakap dan larian Ekiden Run (masing-masing disertai 10,000 belia) serta perkhemahan transformasi belia membabitkan 5,000 orang.
Kata Ahmad Shabery, selain mengetengahkan apa yang ada pada belia, golongan terbabit juga boleh meneroka peluang perniagaan, keusahawanan, kewangan dan perbankan selain mendapatkan bimbingan daripada teknokrat dan pihak korporat negara.
“Kita tidak mahu ikut acuan lama dengan Hari Belia disambut secara mengumpulkan 20,000 atau 30,000 belia dalam satu dewan dengan pengisian seperti ceramah atau bengkel saja kerana konsep ini tidak mencerminkan atau memenuhi kehendak belia semasa.
“Sebaliknya, sambutan Hari Belia sejak tahun lalu memperkenalkan perspektif baru dengan mempelbagaikan acara sambutan merangkumi semua perkara yang diminati belia masa kini,” katanya.
Seperti yang dijanjikan Ahmad Shabery, program yang disusun kali ini turut menyelitkan acara kegemaran generasi baru, antara lain GIG Dance, Cabaran Parkour, Inline Skating dan Yo-Yo Skeel yang mungkin pertama kali didengari atau menjadi pengalaman baru bagi sesetengah orang.
Selain bersuka ria, beliau juga menggalakkan belia tempatan memanfaatkan Himpunan Sejuta Belia selama tiga hari itu untuk mencari peluang perniagaan, baik di dalam atau luar negara kerana karnival terbabit turut disertai wakil belia dari 17 negara lain dari rantau Asia dan kalangan negara Komanwel.
Kata Ahmad Shabery, mereka yang tidak tergolong dalam kategori belia (berusia antara 17 hingga 40 tahun) juga digalakkan menyertai karnival ini supaya dapat memahami dan mampu menerima budaya belia serta merapatkan jurang perbezaan antara mereka.
Bagi mereka yang mahu mendapatkan jadual penuh acara sambutan sempena Hari Belia Negara boleh melayari laman web www.haribelianegara.org.my selain menghubungi bilik Sekretariat Hari Belia Negara yang beroperasi tujuh hari seminggu di talian 03-88713629 atau 03-88713632