Segamat 24 Sept – Orang Muda Johor (OMJ) perlu tampil menjadi sebahagian daripada penyelesaian terhadap masalah di negara ini, khususnya di Johor.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata masa depan Johor harus menjadi tanggungjawab dan tugas semua OMJ.
“Anda mesti prihatin dengan kemajuan, kekurangan dan cabaran negeri ini. Mesti mengambil tahu segala aspirasi pemerintah khususnya negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Muafakat Belia Johor 2017.
Turut hadir pada program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, YB Datuk Zulkurnain Kamisan, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Azmi Rohani dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Sdr. Manndzri Hj Nasib.
Mohamed Khaled juga turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah Belia Peringkat Negeri Johor selain melancarkan lagu rasmi Majlis Belia Negeri Johor.
Terdahulu, Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Sdr. Manndzri Hj Nasib memberitahu “Ini merupakan kali pertama penjenamaan semula sambutan Hari Belia menjadi Himpunan Muafakat Belia Johor dan objektifnya tetap sama iaitu mahu memastikan keberadaan orang muda di negeri Johor ini.
Seramai hampir 30,000 pengunjung hadir menyaksikan dan menyertai pelbagai acara dan aktiviti menarik yang disediakan oleh penganjur khusus untuk para belia untuk semua lapisan umur dan masyarakat.