PUTRAJAYA 24 April – Kementerian Belia dan Sukan sekali lagi bakal menganjurkan program tahunan terbesarnya iaitu Festival Belia Putrajaya 2014 bermula 22 hingga 25 Mei ini di Persiaran Perdana, Presint 4 di sini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, festival yang menjadi kemuncak sambutan Hari Belia Negara 2014 itu akan membawa konsep agak berbeza iaitu `lihat dan rasa’ iaitu selari dengan cita rasa anak muda masa kini.
Beliau berkata, festival yang diisi dengan 60 segmen yang diadakan di empat zon itu akan memberi fokus kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi dan sukarelawan.
Kementerian menjanjikan pengalaman yang cukup berbeza kerana tema pada tahun ini adalah ‘Dari Belia Untuk Belia’ sekali gus menjadi medium terbaik untuk golongan belia mempamerkan bakat terpendam.
Festival ini juga bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda untuk berekspresi dan menguji kebolehan diri bersaing di pentas yang terbuka serta mencabar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan prapelancaran Festival Belia Putrajaya 2014 di sini hari ini.
Menurut Khairy, festival kali ini juga menyediakan ruang untuk menyemarakkan semangat para belia dari seluruh negara merealisasikan impian lebih besar bagi melontarkan idea serta pandangan dalam setiap aktiviti yang disertai.
Antara segmen yang akan diadakan sempena festival berkenaan adalah pameran pekerjaan, jualan dan pameran buku, pidato, larian zombi, tilawah al-Quran, nasyid, pameran gajet, kejohanan futsal, kejohanan seni mempertahankan diri, peperangan bantal dan banyak lagi.
Antara kelainan yang bakal kita bawa pada penganjuran kali ini adalah program belia berselawat pada 22 Mei pukul 9 malam bertempat di pentas utama. Pada majlis itu ia akan diserai oleh ikon qasidah dan selawat daripada dalam dan luar negara,” katanya.
Khairy berkata, festival kali ini mengetengahkan pendekatan yang seimbang supaya dapat memberi lebih banyak manfaat kepada golongan belia daripada semua lapisan masyarakat.
Penglibatan belia di peringkat akar umbi juga antara pendekatan yang dilaksaksanakan pada tahun ini, pertandingan dalam pelbagai aktiviti telah dimulakan di peringkat daerah dan negeri di mana pemenang akan layak ke peringkat akhir semasa festival belia di Putrajaya.
Adalah diharapkan dengan pengenalan konsep lihat dan rasa pada sambutan Festival Belia Putrajaya 2014 akan mampu memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan belia secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai perbelanjaan Festival Belia Putrajaya 2014, Khairy berkata, hampir 60 peratus perbelanjaan pada penganjuran pada kali ini dikhususkan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti di peringkat daerah dan negeri.
Kita bukan menganjurkan program yang tertumpu di Putrajaya sahaja, kita akan buat di daerah dan negeri, selepas itu kita akan bawa juga golongan belia daripada akar umbi ini datang ke sini untuk sambutan peringkat akhir,” katanya.