MAJLIS BELIA MALAYSIA

ETP bukti kerajaan bertindak secara sistematik, ikut keupayaan

 

E-mail Print PDF

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Pengumuman 19 lagi projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan kerajaan sentiasa bertindak secara bersistematik serta mengikut keupayaan yang ada bagi membangunkan negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamad Maliki Mohamed Rapiee (gambar) berkata, ia juga menunjukkan bahawa usaha yang dilaksanakan kerajaan itu bukan semata-mata tindakan yang populis bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Perdana Menteri tidak mengumumkan 19 lagi projek ETP itu secara membabi buta. Ia mengambil kira segala keupayaan negara dalam menyediakan pelbagai faedah kepada rakyat terutama kepada golongan belia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelancaran projek-projek di bawah ETP itu yang melibatkan pelaburan bernilai RM67 bilion bagi menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion selain menyediakan 35,000 peluang pekerjaan baru.

Sejak pelancaran ETP pada 25 Oktober 2010, Perdana Menteri mengumumkan 18 projek permulaan dan perkembangan berkaitan untuk menjayakan agenda transformasi negara ini.

Mohamad Maliki berkata, langkah kerajaan menambah projek ETP itu sememangnya perlu dilakukan bagi menjayakan usaha transformasi negara.

“Kerajaan serius mahu melihat ekonomi rakyat dan negara berkembang baik. Peluang pekerjaan baru yang akan wujud juga melonjakkan lagi kek ekonomi negara,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Graduan Malaysia, Muzamir Mustafa yang menyokong usaha kerajaan itu berkata, tambahan kepada projek ETP itu akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.

“Secara tidak langsung ekonomi negara akan terus berkembang dan bila ini berlaku selalunya semua usahawan akan menikmati faedah hasil daripada pelaburan tidak kira dari luar atau dalam negara.

“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan langkah kerajaan. Golongan usahawan belia juga perlu merebut peluang ini. Mereka perlu lebih berinovatif,” katanya.

Katanya, melalui langkah itu, kerajaan juga digesa supaya memberi tumpuan yang lebih kepada sektor pertanian kerana ia turut melibatkan penyertaan ramai golongan usahawan lulusan universiti.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad pula berkata, langkah kerajaan itu adalah satu usaha yang tepat pada masanya memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin baik.

Katanya, pertambahan projek-projek ETP itu akan memberi manfaat besar kepada golongan kontraktor di Malaysia terutamanya bumiputera.

“Jadi saya menyeru supaya kontraktor di bawah PKMM supaya merebut peluang dan ruang yang disediakan secara meluas oleh kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan kerajaan itu membuktikan bahawa ia tidak pernah mengabaikan golongan kontraktor

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »