MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dialog Pandangan Dan Komen Untuk Mengeratkan Integrasi Rakyat

Majlis Belia Malaysia dan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) telah bersama-sama terlibat dalam mendapatkan komen dan pandangan belia pelbagai kaum tentang integrasi rakyat di Malaysia menerusi penganjuran Dialog Pandangan dan Komen untuk Mengeratkan Integrasi Rakyat. Program telah berlangsung pada 29 September 2013 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Program telah dihadiri oleh Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia, Sdr Tan Kai Hee, Penasihat Jawatankuasa Perpaduan Huazong, Datuk Cheng Lai Hock, Timbalan Presiden Huazong, dan wakil dari persatuan-persatuan belia pelbagai kaum.

Objektif program adalah untuk mendapatkan pandangan belia demi merapatkan jurang antara kaum selain menjadi medium untuk memahami keperluan satu sama lain supaya integrasi rakyat dapat dicapai.

Hasil dialog telah merumuskan perkara seperti berikut:

i) Menyarankan supaya masyarakat kembali kepada tafsiran asas tentang bangsa dan kaum bagi mencapai persefahaman dan membentuk prinsip yang sama. Negara kita perlu dikenali sebagai Bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

ii) Masyarakat dicadangakan untuk mempelajari bahasa-bahasa kaum lain dan memahami tentang budaya dan agama satu sama lain untuk meraikan kepelbagaian yang unik.

iii) Sejarah perlulah dihayati dari usia kecil supaya lahir perasaan cinta akan negara tanpa perlu dipaksa. Pemahaman dan penghayatan tentang sejarah dapat menerapkan toleransi dalam kehidupan seharian.

iv) Sistem pendidikan perlu diperkemaskan lagi supaya menerapkan unsur perpaduan diperingkat awal persekolahan disamping membina persekitaran yang utuh dalam pembinaan Negara bangsa.

v) Masyarakat mesti kembali berpegang teguh kepada agama untuk mengelakkan penyebaran gejala negatif dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu memainkan peranan selayaknya.

Kesimpulannya, dialog seperti ini wajar diteruskan untuk memupuk perpaduan kaum disamping mempertahankan perlembagaan Malaysia dari tergugat.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »