Debat Populisme di Forum Sedunia Mengenai Demokrasi
Oleh: JUFITRI JOHA
Pengerusi
Federasi kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)
&
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
8 – 10 November 2017, saya bersama saudara Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM, saudara Ahmad Sapar, Setiausaha Agung MBM dan saudara Izzat Afifi, Exco MBM berada di Strasbourg, Timur Perancis menghadiri World Forum for Democracy anjuran Council of Europe. Forum yang penting ini membincangkan tentang satu tajuk yang sedang hangat diperkatakan iaitu populisme khususnya di Amerika dan Eropah. Forum turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Australia Kevin Rudd dan Perdana Menteri New Zealand Helen Clark. Strasbourg merupakan ibu kota kepada Parlimen Eropah dan tempat yang meraikan kepelbagaian bangsa dan agama.
Council of Europe merupakan agensi antarabangsa seumpama Unesco yang aktif mempromosi dan memperjuangkan tiga agenda utama iaitu demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Dianggotai lebih 40 negara Eropah (kecuali Belarus kerana masih mengamalkan hukuman bunuh (death penalty)) menjadikan ia sebuah agensi yang penting di benua Eropah. Terkadang ramai juga yang terkeliru dengan Kesatuan Eropah (EU) yang berpusat di Brussel namun jelas EU ialah kesatuan politik yang membentuk Eropah dan hanya dianggotai oleh lebih kurang 27 buah Negara. Kes Brexit hanya melibat UK keluar daripada EU dan masih kekal bersama Council of Europe.
Secara lebih spesifik, populisme merujuk kepada kes kemenangan Trump di Amerika dan isu Brexit yang berlaku di United Kingdom. Trump memainkan isu yang bersifat populisme seperti menakut-nakutkan pengundi kulit putih dengan ancaman terrorisme dan immigran muslim. Hasilnya Trump mendapat 53% undi pengundi kulit putih sekaligus memenangi pilihanraya Presiden Amerika mengalahkan Clinton. Sementara golongan pro kepada Brexit memainkan isu yang hampir sama berkaitan ancaman imigran jika terus bersama Kesatuan Eropah (EU). Ternyata majoriti rakyat UK mengundi untuk keluar daripada EU. Sebelum forum ini, majalah Foreign Affairs sudah pun menyiarkan tulisan berkaitan kemunculan populisme pasca kemenangan Trump.
Forum ini cuba mencari jawapan berkenaan wacana populisme dalam ruang demokrasi sama ada ianya adalah satu masalah yang perlu ditangani atau satu amalan yang sihat untuk menyuburkan amalan demokrasi.
Tiada definisi yang kelihatan standard dan tepat dapat ditakrifkan untuk populisme namun apa yang dapat disimpulkan oleh penulis ialah ia merupakan pendekatan yang digunakan oleh ahli politik bagi meraih undi dengan memainkan isu-isu yang popular dan menakutkan walaupun ianya tidak mempunyai kebenaran dan belum lagi dapat dibuktikan kebenarannya dengan asas-asas yang kukuh. Dalam masa yang sama, pengundi atau rakyat terus mempercayai persepsi tersebut tanpa menyemak kebenaran faktanya. Hasilnya pengundi atau rakyat akan menterjemahkan kepercayaan tersebut dalam bentuk pangkahan undi sekaligus menyebabkan kemenangan kepada ahli politik yang memainkan isu-isu tersebut.
Merujuk perdebatan demokrasi di Malaysia, sesetengah parti politik sebagai contoh menjanjikan untuk memansuhkan tol dan PTPTN. Ini merupakan dua isu yang popular di kalangan belia dan rakyat yang mampu menarik minat mereka untuk mengundi dan menyokong parti tersebut. Ini adalah kerana ia mampu mengurangkan beban kos sara hidup dan beban hutang yang terpaksa ditanggung apabila tamat pengajian di institusi pengajian tinggi. Dalam isu ini, belia dan rakyat harus dididik agar tidak cepat terpengaruh dengan janji-janji yang belum tentu dapat dilaksanakan apabila mereka menang sebaliknya belia dan rakyat harus dididik juga menjadi penyemak fakta atau fact checker dengan bertanyakan kaedah yang lebih lanjut dan terperinci berkenaan kesahihan dan kebolehan parti tersebut memansuhkan tol dan PTPTN tanpa menjejaskan masa depan Negara. Di era ledakan media sosial ini, belia dan rakyat Malaysia harus sentiasa menjadi fact checker yang kritis dengan apa sahaja tawaran yang datang daripada pelbagai parti politik pemerintah mahupun pembangkang. Ini adalah proses mematangkan belia dan rakyat dalam proses menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.
Di peringkat geopolitik global pula, kes pembohongan Bush terhadap kewujudan senjata pemusnah besar-besar atau weapon of mass destruction (WMD) di Iraq wajar dijadikan iktibar kerana ia menyebabkan rakyat Iraq hidup menderita sehingga kini. Malang apabila ada sebahagian masyarakat dunia dan rakyat Amerika mempercayai omongan kosong Bush ini tanpa menjadi fact checker sebelum menyokong tindakan Bush. Populisme batil seperti ini memang meningkatkan sokongan kepada Bush khususnya di kalangan pendokong aliran keras kanan Amerika tetapi akibatnya rakyat Iraq menderita berabad lamanya. Ini jelas menunjukkan kesan negatif populisme.
Kelihatan definisi populisme lebih bersifat negatif namun sebagai perbandingan dan berlaku adil, kamus Cambridge mentakrifkan populisme sebagai “political ideas and activities that are intended to get the support of ordinary people by giving them what they want”. Definisi ini seolah-olah bersifat positif kerana dalam konteks ini, ahli politik akan memberikan sesuatu yang rakyat mahukan seperti pemotongan cukai dan peningkatan gaji.
Berdasarkan perbincangan di forum World Forum for Democracy dan juga pandangan peribadi, penulis berkesimpulan bahawa populisme lebih membawa konotasi negatif berbanding positif dan ia merupakan ancaman besar kepada kesuburan demokrasi. Demokrasi boleh rosak apabila ia tidak dibina atas dasar ilmu, fakta, rasionaliti dan bukan emosi.
Populisme lebih dikaitkan dengan konotasi negatif kerana kebanyakannya berhujah populisme menafikan kemajmukan atau multiculturisme. Populisme juga bersandarkan emosi dan bermain dengan perasaan semata-mata dan tidak kepada rasional dan fakta. Kebangkitan populisme biasa dikaitkan dengan golongan aliran keras kanan atau far right di Eropah yang membenci pendatang dan muslim serta menebal perasaan nasionalismenya. Elemen kebencian merupakan senjata yang ampuh bagi menarik sokongan rakyat.
Kemenangan Emmanuel Macron di Perancis ke atas pemimpin berhaluan far right Parti National Front Marine Le Pin sedikit melegakan rakyat Perancis kerana pergerakan populisme Le Pin tidak mendatangkan kebaikan kepada kemajmukan rakyatnya. Kemenangan Le Pin akan membawa Perancis mundur ke belakang berbanding keterbukaan Perancis sebelum ini menerima dan meraikan multiculturisme. Perancis adalah melting pot kepada pelbagi bangsa.
Jerman juga bernasib baik kerana Angela Merkel masih lagi terus memenangi kerusi Canselor. Beliau terkenal dengan membuka ruang yang luas kepada pelarian Syria untuk mencari perlindungan dan penghidupan baru di Jerman sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan pendokong gerakan far right. Penulis dan pimpinan utama MBM sempat berziarah ke Stuggart Jerman dan terjumpa seorang pelarian Syria yang diberikan perlindungan Kerajaan Jerman di situ. Menurut pelarian tersebut, di Stuggart sahaja ada lebih kurang 70 000 pelarian Syria yang diberikan status pelarian dan perlindungan oleh Kerajaan Merkel dan mereka diberikan elaun sara hidup sebanyak 400 euro sebulan untuk seorang. Tindakan Merkel ini mengundang kemarahan sesetengah rakyat Jerman yang tidak sukakan pendatang. Agak ironi di Austria apabila Sebatian Kurz memenangi kerusi Canselor Austria baru baru ini atas sentimen anti imigran di Eropah khususnya kebanjiran pelarian Syria. Kurz baru sahaja mencecah usia 31 tahun namun malangnya beliau mendokong aliran keras.
Salah seorang panel forum World Forum for Democracy menyebutkan bahawa Eropah harus menerima hakikat bahawa populasi Eropah semakin menurun manakala populasi imigran semakin meningkat, integrasi adalah jawapan kepada permasalahan ini dan bukannya menyebarkan agenda populisme yang membenci imigran atau pendatang. Bagi penulis ini adalah dosa Negara-negara Eropah seperti UK dan Perancis yang pernah menjajah Negara-negara lain yang perlu ditebus dengan menerima imigran yang berhijrah dari Negara bekas jajahan mereka. Di Perancis imigran ramai datang dari bekas Negara jajahan Perancis iaitu Morocco, Algeria dan Tunisia.
Menariknya lagi, forum turut membincangkan tokoh tokoh politik yang dianggap mengamalkan populisme seperti Maduro di Venezuela, Morales di Bolivia, Hassan Nasrallah di Lubnan bahkan Erdogan di Turki turut tersenarai. Secara hakikatnya populisme banyak digunakan oleh ahli politik bagi meraih sokongan rakyat walaupun tidak bersandarkan fakta yang sahih. Kehadiran media sosial tambah memudahkan lagi idea populisme ini tersebar cepat di kalangan rakyat di era post-truth society ini. Kebanyakkan ahli politik di dunia cenderung menggunakan populisme bagi mencari jalan pintas memenangi pilihanraya tanpa menghiraukan kesan buruknya. Ahli politik sememangnya memerlukan populariti tapi bukannya populisme.
Kehadiran Kemal Kilicdaroglu pimpinan parti secular CHP Turki ke forum World Forum for Democracy sebagai panelis mencuri perhatian kebanyak peserta apabila beliau kelihatan cuba meyakinkan audien untuk menyenaraikan Erdogan sebagai pimpinan yang mengamalkan populisme untuk terus kekal berkuasa. Persoalannya apakah kayu ukur standard yang boleh digunakan bagi mengesahkan seseorang ahli politik itu sebagai pengamal populisme dan harus ditolak oleh rakyat? Ia adalah kerana masing-masing cuba menuduh pihak lawan masing-masing bagi meraih simpati dan undi rakyat. Persoalan ini harus diwacanakan dan diperdebatkan bagi mendapatkan jawapan yang tuntas.
Dalam keadaan demam pilihanraya umum di Malaysia yang semakin hampir, kayu ukur populisme sebegini wajar dipersembahkan kepada rakyat bagi membantu mereka membuat pilihan terbaik bagi memastikan Negara di tadbir dan dipacu oleh sang demokrat tulen dan bukan sang populist.
Bagi menangani gejala populisme ini, rakyat harus dididik agar tidak cepat mempercayai sesuatu persepsi dan wajib membuat semakan fakta bagi memastikan kesahihan. Jika rakyat dibekalkan dengan pendidikan sebegini maka ahli politik tapi mudah sewenang-wenang menyebarkan idea populisme ini di kalangan rakyat. Di satu pihak yang lain juga, ahli politik wajar menangani isu-isu yang mendatangkan kebimbangan di kalangan rakyat sebagai contoh ancaman imigran yang dikatakan akan mencuri dan mengambil alih peluang pekerjaan rakyat tempatan atau dalam konteks Malaysia pendatang tanpa izin (pati) yang mengambil pekerjaan rakyat khususnya dalam sektor 3D. Ahli politik atau Kerajaan wajar menangani segera isu ini dengan memberikan solusi yang tuntas dan berkesan kepada rakyat bagi meredakan kebimbangan yang tidak berasas tersebut serta menangani kekurangan rakyat Malaysia dalam sektor 3D.
Secara kesimpulannya, idea populisme yang seperti yang diterangkan di atas sebenarnya tidak banyak mendatangkan kebaikan kepada kesuburan demokrasi kepada sesebuah Negara bahkan mendatangkan banyak keburukan kepada rakyat dan Negara kerana kepentingan peribadi ahli politik tersebut melebihi kepentingan umum. Populisme justeru tidak harus berlaku dalam dunia demokrasi khususnya Malaysia. Namun perdebatan dan wacana berkenaan populisme harus diteruskan demi mencari jawapan yang lebih tuntas khususnya dalam konteks. Istilah-istilah berkaitan seperti persepsi, vox populi, propaganda dan partisipatif demokrasi harus terus diperdebatkan.
MBM berhasrat mengangkat dan meneruskan debat populisme di Malaysia bersesuaian dengan peranan dan fungsi MBM untuk mendidik belia dan rakyat Malaysia agar meningkatkan partisipasi yang positif di dalam ruang demokrasi Malaysia. Indeks Belia Malaysia 2015 jelas menunjukkan skor Domain Sosialisasi Politik amat rendah di kalangan belia dan perlu ditangani secara berkesan oleh MBM. Kajian terbaru pada Ogos 2017 Ngo Watan dan Merdeka Centre mengesahkan generasi muda di Malaysia masih kurang kesedaran untuk berpartisipasi dalam ruang demokrasi khususnya dengan mendaftar mengundi dan mengundi. Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa responden menyebutkan mengundi tidak memberikan apa-apa kesan secara umumnya.
Cakna Negeraku!
Selain menghadiri forum ini, pimpinan MBM turut mengambil kesempatan melawat European Youth Council (EYC) dan European Youth Foundation, bahagian belia UNESCO dan berdialog bersama pelajar Malaysia di Strasbourg dan Paris berkenaan masa depan Negara dan agenda TN 50. Pelajar Malaysia di Perancis dahagakan program-program engagement sebegini dan mereka mengharapkan lebih banyak program seumpama ini. Pelajar Malaysia di Perancis berjumlah sekitar 500 orang lebih dan banyak tertumpu di kawasan selatan seperti di Nice dan Toulouse. Antara aspirasi TN 50 mereka yang popular ialah isu perpaduan kaum, identiti bangsa Malaysia dan sistem pendidikan Negara. MBM akan membina jaringan kerjasama program bersama Malaysia Student Association of France (MASAF) seperti yang disarankan oleh T.Y.T Duta Besar Malaysia ke Perancis.
Cakna Negeraku!