JOHOR BAHRU, 9 Julai 2026 – Majlis Belia Malaysia telah menganjurkan Program Kongres Prauniversiti Zon Selatan 2026 yang berlangsung pada 8 hingga 9 Julai 2026 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Program ini menjadi platform strategik bagi menghimpunkan suara, pandangan dan aspirasi pelajar prauniversiti khususnya pelajar Tingkatan Enam dalam membincangkan isu berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan dan kepimpinan generasi muda.
Penganjuran kongres ini bertujuan menyediakan ruang kepada pelajar prauniversiti Negeri Johor untuk menyuarakan pandangan, isu serta cadangan berkaitan pendidikan dan pembangunan pelajar. Selain itu, program ini turut memperkasa kepimpinan pelajar melalui penglibatan dalam persidangan, sidang perbincangan, wacana pendidikan serta pembentangan usul bagi menghasilkan resolusi yang dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Seramai 500 orang pelajar telah terlibat dalam program ini yang menghimpunkan penyertaan pelajar prauniversiti bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan generasi muda. Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim serta Majlis Belia Malaysia.
Antara pengisian utama sepanjang kongres berlangsung ialah sesi pembukaan, perbahasan usul mengikut lima kluster utama iaitu Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Ekonomi dan Keusahawanan Belia, Sekolah Selamat dan Reformasi Pendidikan, Alam Sekitar dan Kesihatan serta Literasi Demokrasi, Kenegaraan dan Kepimpinan. Perbincangan melalui kluster ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan pandangan serta cadangan berkaitan isu semasa yang memberi impak kepada golongan muda.
Selain sesi persidangan, program turut menampilkan pengisian pembangunan kepimpinan seperti Ceramah Anti Buli oleh YBrs. Dr. Mohd Al Adib, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Forum Kepimpinan Belia bersama Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, serta Syarahan Kerangka Pendidikan MADANI oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Roslan Bin Hussin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia.
Program ini turut dihadiri oleh barisan tetamu kehormat antaranya YB Tuan Adam Adli bin Abdul Halim, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim serta Datuk Dr. Mohd Azam, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh YB Tuan Adam Adli, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, di samping pembentangan pandangan dan aspirasi pelajar Tingkatan Enam Johor sebagai refleksi terhadap hasil perbincangan sepanjang kongres berlangsung.
Pelaksanaan Kongres Prauniversiti Zon Selatan 2026 telah berjaya mewujudkan ruang pembelajaran kepimpinan yang memberi nilai tambah kepada para peserta, khususnya dalam memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta keupayaan mereka menyuarakan pandangan berkaitan isu pendidikan dan pembangunan generasi muda. Melalui sesi perbincangan dan pembentangan usul, pelajar diberi peluang untuk mengemukakan idea serta menghasilkan cadangan secara lebih tersusun dan berimpak.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen MBM dalam memperkasa peranan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara. Kongres ini bukan sekadar menjadi medan perbincangan isu pendidikan, malah turut menjadi platform membentuk barisan pemimpin muda yang berani bersuara, mempunyai jati diri serta bersedia menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.











