MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bursary bukti kerajaan tunaikan janji

KUALA LUMPUR 11 April – Usaha kerajaan menyediakan kemudahan penajaan kewangan Bursary kepada pelajar mendapat 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dilihat sebagai komitmen bagi memastikan negara memiliki modal insan yang cemerlang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pemberian itu menunjukkan kerajaan komited dan serius dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada golongan pelajar.

Kata beliau, ini juga bukti kerajaan tidak semata-mata hanya berjanji kosong dalam melaksanakan komitmen tersebut seperti yang dinyatakan pada pembentangan bajet lalu.

”Kita amat menyokong usaha kerajaan memperkenalkan kemudahan Bursary dan perkembangan ini dianggap amat baik mengikut situasi masa kini.

”Ia kerana kebanyakan ibu bapa yang kurang berkemampuan bimbang dengan tajaan kewangan pengajian anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penajaan kewangan Bursary akan diberikan secara automatik kepada lepasan pelajar SPM tahun lalu yang mendapat keputusan 9A+ tanpa mengira etnik, kaum, keturunan serta latar belakang.

Bagi tujuan itu, seramai 1,609 pelajar lepasan SPM 2011 telah dikenal pasti layak mendapat penajaan Bursary iaitu 1,020 yang mendapat keputusan sembilan A+, 492 pelajar (10A+), 90 pelajar (11A+) dan tujuh pelajar (12A+).

Selain itu, menurut Mohamed Maliki, kerajaan juga telus dalam melaksanakan pemberian bantuan tersebut yang diberikan sama rata kepada semua kaum tanpa mengira perbezaan etnik.

Sementara itu, menurut Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, melalui kemudahan tersebut, golongan pelajar terutama kurang berkemampuan lebih bersemangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Kemudahan itu wajar diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pelajar yang berbakat dan cemerlang dalam pelajaran berpeluang menikmati kemudahan tersebut,” katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin menjelaskan, langkah kerajaan menyediakan kemudahan kewangan Bursary dianggap melegakan banyak pihak terutama golongan ibu bapa berpendapatan rendah.

“Usaha itu harus dilaksanakan mengikut sistem kuota agar pemberian bantuan tersebut dinikmati secara adil dan telus tanpa memihak kepentingan sesuatu kaum,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »