Muhyiddin gesa generasi muda kuasai ilmu, kemahiran
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan belia supaya tidak berterusan mengamalkan budaya ‘mediocre’ atau budaya cincai dalam setiap bidang diceburi jika tidak mahu ketinggalan dalam dunia global yang semakin kompetitif.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri mahu supaya golongan yang mewakili lebih satu pertiga daripada jumlah penduduk negara ini melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan diri, sekali gus memberi sumbangan untuk memacu kemajuan negara.
Katanya, matlamat untuk menjadi negara maju menjelang 2020 bergantung kepada kemampuan kerajaan menjana pertumbuhan ekonomi serta keupayaan berlumba dengan negara lain dalam persaingan global yang semakin sengit.
“Kalimah mediocre atau cincai tidak ada dalam kamus kejayaan di era persaingan global yang semakin kompetitif hari ini. Jika kita mengambil sikap acuh tak acuh atau cincai dalam amalan kita seharian, kita akan ketinggalan,” katanya berucap melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2011 peringkat kebangsaan di Jalan Bukit Bintang, di sini, malam tadi.
Sempena sambutan Hari Belia Negara 2011, perhimpunan besar-besaran membabitkan sejuta belia akan diadakan di Putrajaya selama tiga hari bermula 27 Mei ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada golongan belia.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menggesa warga belia menggembleng usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menjadi dua senjata utama untuk meningkatkan kecemerlangan diri.
Belia yang masih bersekolah atau menuntut di institusi pengajian tinggi, katanya, perlu memberi tumpuan penuh kepada pelajaran kerana ia menjadi bekalan utama untuk menempa kecemerlangan pada masa depan.
Bagi yang sudah bekerja, mereka perlu merebut peluang untuk mengikuti pelbagai program latihan peningkatan kemahiran sama ada disediakan kerajaan, majikan atau pihak swasta.
Pada majlis malam tadi, Muhyiddin menerima kejutan apabila ulang tahunnya yang ke-64 semalam diraikan pada penghujung majlis