MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bengkel Transformasi MPBN tambah baik MPBN

Bukit Tinggi –  Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengadakan Bengkel Transformasi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2015 pada 1 hingga 3 Julai 2015 bertempat di Colmar Tropicale Bukit Tinggi, Pahang. Bengkel ini telah dihadiri seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan MBM, barisan kepimpinan tertinggi Majlis Belia Negeri (MBN), Bahagian Pembangunan Belia, KBS dan wakil Jabatan Belia dan Sukan dari setiap negeri.

Objektif program ini adalah antaranya menambah baik dan memantapkan hala tuju dan matlamat MPBN supaya lebih berfokus dan lebih menyeluruh, meningkatkan ilmu dan kefahaman ahli-ahli MPBN di dalam menghasilkan usul-usul yang berkualiti tinggi dan menambah baik serta meningkatkan peranan ahli majlis di dalam membantu usaha bagi mengetengahkan usul MPBN ke peringkat yang tertinggi. Di samping itu juga dapat memperkemaskan fungsi MPBN bagi memastikan keberkesanan usul yang dibahaskan dapat memberi manfaat kepada belia khususnya dan kepada masyarakat secara amnya dan menyelaraskan Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBNg) dan Majlis Perundingan Belia Daerah (MPBD) bagi meningkatkan kualiti penganjuran persidangan di peringkat kualiti penganjuran persidangan di peringkat akar umbi.

Antara pengisian dalam bengkel ini adalah seperti, sesi input yang terbahagi kepada empat segmen iaitu, senario belia di Malaysia, mengkaji dan mngenal pasti usul, MPBN survival belia vs retorik dan teknik perbahasan. Pengisian terpenting dalam bengkel ini ialah perbincangan dan pembentangan kumpulan. Antara penceramah yang dijemput bagi mengisi 4 segmen sesi input ini antaranya Dr. Mohd Ghani Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Dr Zainah Shariff dari Bahagian Pembangunan Belia dan Tuan Haji Mohamed Maliki Mohamed Rapie, Pengarah Institut Belia Antarabangsa merangkap mantan Presiden Majlis Belia Malaysia.

Dalam bengkel ini terdapat enam kumpulan di mana setiap kumpulan telah diberikan tajuk yang perlu dibincangakan dan dibentangkan iaitu, kumpulan pertama membincangkan format persidangan MPBN, kumpulan kedua membincangkan MPBNg dan MPBD, kumpulan ketiga membincangkan penyelarasan usul dan pemantauan maklum balas MPBD/ MPBNg, kumpulan keempat membincangkan tatacara pembentangan dan perbahasan usul, kumpulan kelima membincangkan berkaitan transformasi MPBN (Kebangsaaan) dan kumpulan enam membincangkan berkaitan pemantapan sekretariat MPBNg dan MPBD (Pegawai JBSN/ PBSP/ MBN/ MBD).

Bengkel ini di akhiri dengan sesi penilaian dan perasmian penutup di mana telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, KBS, Datuk Hatipah Haji Ibrahim.

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »