MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia ubah wajah Putrajaya

pengarang@utusan.com.my

BAHANG kian terasa. Bermula dengan berentapnya ribuan pasukan futsal seluruh negara, himpunan gergasi karikatur, juga layar gergasi menayangkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Barcelona-Manchester United sehinggalah ke aktiviti sukan ekstrem dari Jepun, Sasuke serta aksi kumpulan K-pop dari Korea, Super Junior M – semuanya akan merubah santai hujung minggu anda.

Ini semua boleh disaksikan di Putrajaya. Selama tiga hari bermula Jumaat ini, wajah Putrajaya akan berubah sama sekali – lari sekejap daripada urusan rutin biasa yang sibuk dengan pelbagai agensi kerajaan.

Semuanya kerana sambutan Himpunan Sejuta Belia dari 27 hingga 29 Mei ini. Dalam sambutan ini nanti, beberapa lokasi akan mula menjadi tumpuan ramai. Ia melibatkan sepanjang Persiaran Perdana dimulai dari Dataran Putra, Presint 1 dekat Masjid Putra hingga Presint 20.

Dalam tempoh tiga hari itu, Putrajaya akan didominasi belia dalam penyertaan lebih 200 program.

Dan jika anda berkunjung ke Putrajaya saat ini, jelas kelihatan para petugas sedang sibuk memasang khemah, pentas dan gerai-gerai pameran menjelang perhimpunan tersebut. Selain itu ialah kelibat para peserta yang akan mengambil bahagian sedang giat melakukan latihan sebagai persiapan akhir.

Apa yang menariknya Himpunan Sejuta Belia kali ini?

Ya, sepanjang sambutan nanti, para belia akan mempamerkan potensi diri dengan menyertai acara-acara berbentuk pertandingan, persembahan, mencuba kemahiran, mencari ruang-ruang peluang pekerjaan dan pengajian serta menguji bakat masing-masing.

Dalam menjayakan program itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan turun padang untuk bersama-sama golongan itu.

Beliau akan menyempurnakan Kemuncak sambutan dengan melancarkan Himpunan Sejuta Belia pada Sabtu dan mengisytiharkan 2012 sebagai Tahun Belia Negara.

Perdana Menteri kemudian akan melakukan lawatan dan tinjauan ke sekitar kawasan tapak pameran yang berlangsungnya pelbagai aktiviti, di samping beramah mesra dengan mereka termasuklah ke Kompleks Gelanggang Futsal di Presint 18.

Pada awal pagi Ahad itu, Perdana Menteri akan turut serta bersama-sama menonton perlawanan Piala Liga Juara-Juara di layar gergasi di Dataran Putrajaya yang menyaksikan pertemuan di antara kelab Manchester United (MU) dan Barcelona.

Sudah pasti ia menjanjikan satu pemandangan penuh kemeriahan dengan gegak-gempita sokongan kepada pasukan kegemaran masing-masing.

Penganjuran perhimpunan tahun ini ternyata menampilkan kelainan kerana buat pertama kalinya, artis antarabangsa dari Korea Selatan, kumpulan Super Junior M dijemput hadir untuk menghiburkan para belia.

Peluang tersebut tidak boleh dilepaskan terutamanya buat para peminat kumpulan itu. Justeru, silalah menghadirkan diri ke pentas persembahan di Simpang Empat berhadapan Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada malam Sabtu ini nanti.

Tidak ketinggalan juga persembahan daripada artis-artis tempatan yang akan turut menggamatkan suasana sambutan Perhimpunan Sejuta Belia itu. Antaranya Fabolus Cats, One Nation Emcees, Kristal, Black dan ramai lagi selebriti tanah air.

Secara keseluruhannya, aktiviti sempena Hari Sambutan Belia itu terbahagi kepada 11 segmen utama iaitu Himpunan Sejuta Belia, Modal Insan, Y-Avenue, Malaysia Cergas, MAHA Youth dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Selain itu, ia turut membabitkan aktiviti dalam segmen World Youth Fantasy & Gadget World; Y Central; Karnival Memancing Sejuta Belia; We Care, We Smart, We Young dan Karnival Belia Budaya 1 Malaysia.

Kesemua segmen itu membabitkan 80 acara berbentuk pertandingan (41.4 peratus), kerohanian dan keilmuan melibatkan 93 acara (48.2 peratus). Persembahan dan pertunjukkan pula adalah sebanyak 20 acara (10.4 peratus).

Aktiviti yang menjadi tumpuan antaranya adalah kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! di Presint 18 melibatkan lebih 20,000 orang akan memenuhi Kompleks Gelanggag Futsal itu.

Setakat ini, sebanyak 1,624 pasukan dijadual berentap untuk merebut kejuaraan dalam beberapa kategori dengan jumlah semua hadiah terkumpul melibatkan nilai RM120,000.

Selain itu, Konvoi dan Perkhemahan Transformasi Belia yang membabitkan seramai 5,000 belia dari seluruh negara pasti menjanjikan sesuatu yang menarik pada sambutan kali ini. Ia turut disertai Perkhemahan Jambori Pengakap dan Perhimpunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang masing-masing melibatkan 10,000 dan 20,000 penyertaan.

KBS pada sambutan kali ini tidak ketinggalan memperkenalkan Sasuke. Sasuke adalah sebuah rancangan TV realiti sukan yang popular di Jepun dan masih bertahan kuat selepas 12 tahun. Ia adalah kali pertama Sasuke diadakan di Malaysia – negara pertama di Asia Tenggara.

Dalam program ini nanti, sejumlah 100 peserta akan bersaing dalam cabaran rintangan untuk memenangi gelaran Juara Sasuke Malaysia atau pada sambutan kali ini dikenali sebagai Jaguh Malaysia.

Kejohanan Larian Ekiden Run juga akan diadakan melibatkan penyertaan seramai 10,000 orang. Dalam menghangatkan lagi suasana sambutan, berbagai acara lain turut dianjurkan termasuklah pertunjukan wayang pacak; robofair Rakan Muda; himpunan gergasi karikatur; pertandingan pasukan sorak; drag kereta dan motosikal; PC fair; persembahan artis dan lelongan amal.

Bagi memupuk kemahiran berniaga di kalangan belia, KBS akan menyediakan ruang niaga yang luas untuk menjual dan mempamerkan produk keluaran mereka.

Jika diperhatikan, sambutan Himpunan Sejuta Belia 2011 ini dibuat dalam skala besar kerana ia melibatkan lebih 200 aktiviti berbanding hanya 88 aktiviti tahun lalu.

Semua itu memerlukan pelan perancangan dan pelaksanaan yang teratur bagi memastikan segala aktiviti serta program direncanakan berjalan dengan sempurna.

Penghargaan dan sokongan wajar diberikan kepada KBS yang mendapat kerjasama daripada 463 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka menyertai acara Himpunan Sejuta Belia dan Sambutan Hari Belia Negara ini dalam bentuk penajaan dan sokongan moral.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »