KUALA LUMPUR: Usaha menangani masalah pemakanan dalam kalangan belia tidak boleh lagi bergantung kepada nasihat supaya mereka membuat pilihan makanan lebih sihat, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembentukan persekitaran makanan yang menyokong pilihan berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia dan pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pemakanan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Eow Shiang Yen, berkata golongan muda tidak membuat pilihan makanan dalam ruang yang neutral.
Katanya, harga, kemudahan mendapatkan makanan, rutin harian, tekanan, kekurangan tidur, pengaruh media sosial dan makanan tular antara faktor yang membentuk tabiat pemakanan mereka.
“Jika kita mahu belia makan dengan lebih baik, kita perlu memastikan makanan yang sihat juga mengenyangkan, sedap, mudah diperoleh dan berpatutan, bukan sekadar rendah kalori.
“Kita tidak boleh terus meminta belia memilih dengan lebih baik tanpa memastikan mereka mempunyai pilihan yang lebih baik,” katanya dalam artikel sempena Hari Ahli Pemakanan Malaysia yang disambut hari ini.
Menurutnya, isu berkenaan semakin mendesak apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan mendapati 53.6 peratus orang dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, termasuk 23.1 peratus yang mengalami obesiti.
Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun pula, katanya, 28 peratus mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Eow berkata, ringkasan dasar Persekitaran Makanan Obesogenik Asia Tenggara (SEAOFE) turut menunjukkan 56.2 peratus produk makanan di peringkat peruncitan di Malaysia dikategorikan sebagai produk diskresionari.
Katanya, keputusan pembelian pengguna pula banyak dipengaruhi kemampuan harga (91.2 peratus), kemudahan akses (89.9 peratus) dan kebiasaan (86.6 peratus).
“Apabila seseorang hanya mempunyai masa 15 minit untuk makan atau RM10 untuk satu hidangan, ‘pilihan paling sihat’ mungkin bukan pilihan yang paling mudah atau mampu milik.
“Maka, kita perlu berhenti bertanya hanya ‘Mengapa belia tidak makan dengan sihat?’ dan mula bertanya ‘Apakah persekitaran yang menyebabkan pilihan tersebut menjadi pilihan paling mudah?’,” katanya.
Makanan sihat mesti mudah dicapai
Eow berkata, pendekatan menangani isu pemakanan perlu melangkaui usaha menyekat penjualan makanan kurang sihat, sebaliknya memastikan pilihan lebih berkhasiat turut mudah diperoleh, menarik dan berharga munasabah.
Katanya, kedai serbaneka, kantin sekolah, kafeteria universiti, gerai makanan dan premis makanan boleh dijadikan sebahagian daripada ekosistem yang menyediakan pilihan lebih sihat.
Beliau turut mencadangkan hubungan antara belia, sektor pertanian, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), universiti serta peruncit diperkukuh bagi membina rantaian bekalan makanan yang lebih dekat dan berpatutan.
Pada masa sama, kerajaan boleh membantu PMKS menghasilkan makanan lebih sihat menerusi geran pembangunan produk, kemudahan dapur dan rantaian sejuk dikongsi, bantuan pembungkusan serta akses kepada pasaran.
Eow berkata, makanan sihat juga tidak sepatutnya dilabel sebagai ‘makanan diet’ yang mahal atau tidak menarik.
Sebaliknya, makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi ayam, mi goreng dan laksa boleh diinovasi dengan meningkatkan kandungan sayur serta sumber protein dan mengawal penggunaan minyak, garam serta gula tanpa menghilangkan identiti hidangan berkenaan.
Kampus boleh jadi ‘makmal’ pemakanan belia
Beliau turut mencadangkan institusi pendidikan menjadikan kampus sebagai contoh dalam membentuk persekitaran makanan yang lebih sihat.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk menyediakan makanan berkhasiat pada harga berpatutan, menjadikan makanan sihat sebagai pilihan lalai, menyediakan akses air minuman percuma serta memperkemas kemudahan pantri dan penyimpanan makanan di kolej kediaman serta fakulti.
Katanya, akses kepada makanan sihat dan sedia dimakan juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur kesihatan belia, terutama bagi mereka yang tinggal di asrama atau rumah sewa dengan kemudahan memasak terhad.
Dalam pada itu, beliau berkata teknologi juga boleh dimanfaatkan bagi menggalakkan pilihan pemakanan lebih sihat melalui sistem ganjaran digital, diskaun, mata ganjaran dan baucar.
Platform penghantaran makanan juga boleh bekerjasama untuk meningkatkan keterlihatan pilihan makanan lebih sihat dan memudahkan pengguna mendapatkan makanan berkhasiat pada harga berpatutan.
“Teknologi sepatutnya menjadi alat yang mengurangkan beban membuat keputusan, bukannya satu lagi mekanisme untuk menyalahkan pengguna,” katanya.
Eow berkata, belia juga perlu dilibatkan secara langsung dalam mereka bentuk dasar makanan kerana mereka bukan sekadar penerima manfaat, tetapi rakan kongsi dalam membentuk persekitaran makanan yang mereka diami.
“Matlamat kita bukan untuk menjadikan setiap belia pakar pemakanan. Matlamat kita ialah membina persekitaran di mana pilihan yang sihat, mampu milik, mengenyangkan dan menarik menjadi pilihan yang paling mudah.
“Jika kita mahu generasi belia yang lebih sihat, kita bukan sekadar perlu mengubah apa yang mereka makan. Kita perlu mengubah persekitaran yang menentukan apa yang mudah untuk dimakan oleh mereka,” katanya.
Artikel penuh :