Kuala Lumpur, 29 September 2010 – Ramai generasi muda terutamanya generasi yang berumur bawah 30 tahun kurang mengetahui tentang kisah di sebalik sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan. Generasi kini hanya mengetahui sejarah kemerdekaan hanya berdasarkan buku-buku sejarah yang disediakan ketika menuntut di sekolah. Sebenarnya, kisah perjuangan kemerdekaan adalah begitu panjang dan hanya insan yang terlibat secara langsung boleh berkongsi pengalaman beliau ketika waktu itu.
Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat kisah disebalik sejarah perjuangan tersebut perlu didedahkan kepada generasi belia bagi menaikkan semula semangat kemerdekaan yang kini semakin pudar dijiwa generasi muda. Justeru, MBM telah mengadakan Majlis Pengkisahan Sejarah yang diadakan pada 29 September 2010 di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari. Tokoh negarawan, YBhg Dato Siti Rahmah Hj Kassim telah berbesar hati untuk berkongsi kisah-kisahnya sepanjang perjuangan menuntut kemerdekaan. Majlis yang dihadiri oleh 150 orang belia ini turut dapat mendengar sendiri kisah-kisah yang tidak pernah mereka baca dari mana-mana buku sejarah. Beliau yang diiringi oleh Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden MBM dan Tuan Hj. Irmohizam Ibrahim, Naib Presiden MBM turut menyeru agar seluruh belia menghayati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu bagi menentukan siapakah pejuang bangsa yang sebenar.