Seremban, 27 April 2011 – Negeri Sembilan bukan sahaja kaya dengan adat dan budaya, malah negeri ini juga merupakan salah satu negeri yang telah berjaya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin negara melalui pergerakan belia. Kerajaan negeri begitu komited dengan agenda pembangunan negeri terutamanya yang melibatkan pergerakan belia. YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan mahu gerakan belia bergerak seiringan dengan misi dan visi kerajaan negeri. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan dari Majlis Belia Malaysia (MBM) di Wisma Negeri petang tadi. MBM yang diketuai sendiri oleh Presidennya, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee diiringi bersama oleh YBhg. Dato Hj Irmohizam Ibrahim dan Sdr. Low eng Tack, Naib Presiden MBM serta Sdr. Khairolnezam Shaari, Exco MBM. Walaupun pertemuan ini diadakan dalam masa yang singkat, YAB. Menteri Besar sempat untuk menyatakan beberapa nasihat yang perlu belia ikuti. Pada kesempatan ini juga, MBM turut menyatakan ucapan terima kasih kepada YAB. Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana sudi menjadi tuan rumah kepada MPAT MBM yang akan diadakan di Seremban bermula 29 April hingga 1 Mei 2011.