SHAH ALAM, 16 Januari – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr. Husamuddin Yaacub di bangunan Karangkraf di sini.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan peluang-peluang kerjasama dengan Karangkraf khususnya dalam hebahan aktiviti-aktiviti belia bagi memperkasa persatuan belia.
Dalam pertemuan tersebut beliau sempat memberikan beberapa nasihat dan pandangan terhadap pergerakan belia yang dekat dengan dirinya.
Belia perlu mempunyai nilai yang tinggi dalam diri. Nilai ini perlu dijadikan prinsip dalam kehidupan. Nilai yang dimaksudkan termasuklah ilmu, karakter dan iman.
“Kepimpinan MBM hari ini perlu membina satu legasi yang akan meninggalkan impak besar yang boleh diingati masyarakat”, ujar beliau.
Datuk Husamuddin turut menawarkan kerjasama dengan MBM dalam siri Wacana melibatkan belia yang akan dilaksanakan seminggu sekali.
“Kita sediakan pentas, MBM bawa pemimpin belia dan tentukan tajuk yang hendak dibincangkan”.
Presiden MBM, Jufitri Joha mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak Karangkraf menerima kunjungan hormat ini yang jelas di pihak MBM banyak dapat manfaatnya.
Turut serta Timbalan Presiden, Sdr. Fadzli Hasan, Naib Presiden, Sdr. Muhammad Sherhanizam Abdul Aziz dan Sdr. Azuwan Marjan, Ketua Penerangan, Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Exco MBM Sdr. Syed Osman Mohamed, Sdr. Mohd Hakimi Mat Husin, Sdri. Nurliana Muhammad dan Sdr. Ong Kooi Jin.