KUALA LUMPUR 9 Mac — Warga belia yang melibatkan diri dalam perniagaan harus bersedia untuk melakukan adaptasi dan perubahan yang sesuai dengan perkembangan semasa sekiranya ingin berjaya dalam dunia perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata belia niaga harus bijak menilai dan melihat apa yang boleh dilakukan untuk menambahbaik perniagaan mereka memandangkan skop perniagaan amat luas.
“Lakukan program adaptasi…di mana program adaptasi ini mengingatkan kita untuk melakukan perubahan dan perubahan ini boleh memberi keuntungan kepada perniagaan kita,” katanya ketika berucap melancarkan program Francais Usahawan Muda 1Malaysia-Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, hari ini.
Mengambil contoh dua peruncit di Kerdau yang kini semakin berjaya selepas mengikuti projek tranformasi kedai runcit (Tukar) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Najib berkata ia menunjukkan jika peniaga berani melakukan adaptasi dan berubah, mereka akan lebih berjaya dalam sektor perniagaan yang diceburi. — Bernama