KUALA LUMPUR 2 Jun – Golongan belia disaran supaya lebih berani untuk tampil mengetengahkan idea dan daya kreativiti melalui saluran yang betul agar dapat dibangunkan untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
Exco 1Malaysia for Youth (1M4U), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, golongan itu khususnya mahasiswa dan mahasiswi di negara ini memiliki idea dan kreativiti yang cukup kuat untuk diketengahkan di arus perdana.
Beliau berkata, dengan wujudnya platform seperti 1M4U, kreativiti golongan itu dapat diketengahkan melalui program-program yang dianjurkan.
“1M4U memberi peluang kepada para belia untuk menjalankan aktiviti secara sukarela. Ini merupakan saluran yang betul untuk mereka menyertai program bersesuaian dengan jiwa mereka.
“Dengan adanya aktiviti tersebut, golongan belia dapat menguji daya pemikiran dan berupaya meningkatkan keyakinan mereka untuk menyuarakan idea-idea baharu yang dapat membawa perubahan kepada mana-mana bidang utama di negara ini,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Ikon sempena Minggu Mesra Mahasiswa Baharu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Irmohizam turut melancarkan pusat 1M4U UTM dan menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM5,500.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.
Dalam pada itu, Irmohizam memberitahu, pihaknya dalam perancangan membuka sebuah pusat untuk mengumpulkan golongan belia bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kesenian dan kebudayaan, sukan serta rekreasi.
© Utusan Melayu (M) Bhd