SEGAMAT 28 Dis. – Langkah kerajaan mewujudkan Parlimen Belia terus mendapat sambutan golongan tersebut di negeri ini dan setakat ini, sebanyak 21,000 orang mendaftar menjadi ahli, menghampiri sasaran 23,000 yang ditetapkan Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ).
Presidennya, Anuar Abdul Manap berkata, hanya kira-kira 20 peratus belia di negara ini yang menjadi ahli pelbagai persatuan belia dan selebihnya tidak mendaftar dengan persatuan.
“Sebelum ini telah wujud Majlis Perundingan Belia bagi tujuan tersebut, namun kita lihat skopnya tidak begitu meluas dan hanya menjadi saluran golongan belia yang berpersatuan menyuarakan pandangan serta keperluan mereka kepada pihak berwajib.
“Diharapkan dengan wujudnya Parlimen Belia ini, suara golongan muda yang tidak berpersatuan dapat didengar dengan lebih menyeluruh,” katanya selepas menyertai 11 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Segamat membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyekat Himpunan Guling Kerajaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Segamat petang semalam.
Beliau berkata, majoriti yang mendaftar ialah kaum Melayu dan berharap penyertaan belia kaum lain dapat ditingkatkan kerana keperluan serta pandangan mereka tidak sama mengikut kaum dan ketiadaannya amat merugikan kerana kehendak dan keperluan tidak dapat disuarakan.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang menyeru golongan belia yang masih belum mendaftar sebagai ahli Parlimen Belia segera berbuat demikian di pejabat daerah masing-masing atau dalam talian di www.parlimenbelia.gov.my.
Menurutnya, negeri ini bakal mempunyai 40 ahli Parlimen Belia yang akan dipilih oleh ahli berdaftar secara dalam talian dan persidangan akan diadakan bagi memberi peluang kepada mereka menzahirkan pandangan kepada kerajaan.
“Ramai yang masih kurang jelas tentang Parlimen Belia dan ada yang berpendapat ahli Parlimen Belia mendapat kemudahan seperti yang dinikmati oleh ahli Parlimen. Sebenarnya mereka tidak diberikan kemudahan seperti ahli Parlimen biasa termasuk kemudahan elaun.
“Bagaimanapun saya harap ini tidak melemahkan ahli Parlimen Belia untuk berjuang menyuarakan kehendak dan keperluan bagi memastikan suara golongan tersebut dapat terus didengar dan difahami pihak berwajib demi kebaikan mereka,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd