KUALA LUMPUR 24 Dis. – Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menggerakkan sejumlah 200 sukarelawan ke Pantai Timur bagi menyertai Misi Belia Prihatin MBM-KBS membantu mangsa banjir di tiga negeri tersebut.
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, badan gabungan negeri MBM telah digerakkan khususnya di tiga negeri yang dilanda banjir sementara badan gabungan di peringkat negeri pula diletakkan dalam keadaan bersiap sedia ekoran banjir yang turut melanda di negeri-negeri lain.
Katanya, beberapa badan gabungan MBM telah pun memulakan khidmat bantuan segera kepada mangsa banjir di negeri terlibat.
“Kumpulan pertama Misi Belia Prihatin MBM-KBS telah digerakkan ke Kelantan, Terengganu dan Pahang hari ini dan akan bekerjasama dengan agensi bantuan bencana yang telah diwujudkan dan digerakkan oleh kerajaan untuk operasi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mohamed Maliki, orang ramai disaran untuk turut menjayakan misi itu menerusi sumbangan dalam bentuk kewangan, tenaga dan idea bagi memastikan Misi Belia Prihatin MBM-KBS berjalan lancar.
“MBM juga membuka ruang kerjasama kepada mana-mana syarikat perniagaan dan korporat untuk bersama-sama memberi sumbangan dalam apa juga bentuk seperti barangan keperluan atau perkhidmatan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sana,” katanya.
Orang ramai atau syarikat yang ingin menyumbang kepada Misi Belia Prihatin MBM-KBS, boleh menghubungi sekretariat MBM di talian 03-91732761/63 untuk maklumat lanjut.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/200-sukarelawan-mbm-ke-pantai-timur-1.40606#sthash.FAotv4qR.dpuf