Dua perkara boleh mengubah manusia ; undang-undang dan pendidikan. Dengan undang-undang (penguatkuasaan/regimental) perubahan dapat dipaksakan secara semerta. Manakala, pendidikan pula menganjurkan perubahan dicapai melalui jalan panjang. Marathon barangkali. Jaraknya melebihi langkauan dan jangkauan para politikus, pentadbir pendidikan yang berkisar setiap kali musim berganti.
Pernah dianjurkan agar Kementerian Pendidikan yang mengurus tadbir persoalan pendidikan di peringkat sekolah, kolej, universiti digantikan dengan Suruhanjaya Bebas. Apa sahaja musim berganti, para teknokrat pentadbir yang memegang dokumen utamanya tidak terusik. Mereka boleh terus memegang baton meneruskan larian yang tiada berkesudahan selagi ada matahari dan bintang.
Kenapa kami bicarakan soal pendidikan begitu memprihatinkan sekali? Perhatian kami terhadap pendidikan bukan bersifat issue-oriented, bukan bersifat kesementaraan. Timbul atau tenggelamnya isu samada beg sekolah berat, silibus yang padat, keciciran, soalan peperiksaan tidak relevan atau sebagainya tidak menghalangi kami daripada memberati perihal pendidikan. Kerana, ia adalah soal kemanusiaan, hak yang wajib ditunaikan kepada seluruh manusia serentak bersama kelahiran mereka. Pendidikan untuk semua.
Gawang Utama Kemanusiaan
Terdapat sebuah padang permainan yang besar. Manakala banyaklah perkumpulan manusia daripada kanak-kanak, para pemuda dan orang dewasa sedang beriadah. Ada yang bermain bola, sepak raga, olahraga, jogging, badminton. Semua jenis permainan bernama sukan juga. Semua menuju jaring yang sama. Cuma, banyak jugalah yang tersasar, meliar daripada gol. Manakala, daripada kalangan mereka yang berprestasi akan mengatasi yang lain menerjah gawang lalu meletakkan pasukan di hadapan. Ia boleh tumbuh oleh sebab bakat juga strategi. Tidak semua dihadiahi bakat, namun semua diberikan peluang saksama untuk merancang pelan menggantikan bakat yang tidak terhadiahi.
Begitu halnya semua jenis dan kaedah persekolahan, peruniversitian bernama pendidikan juga. Di hujung matlamat segala sistem ini bolehlah kita tengahi sebagai bertujuan menciptakan manusia yang berkualiti. Namun, disebabkan orientasi nilai dianut yang berbeza daripada kalangan para pengamal pendidikan ini, rumusan mereka terhadap produk akhir pendidikan juga berbeza. Di penjuru pelbagai dunia sistem pendidikan dirasuk matlamat kemenjadian untuk melahirkan para pemain ekonomi yang dapat memenuhi selera industri. Ilmu pragmatik menjadi mandatori. Ilmu pokok berintipati melahirkan manusia yang baik dan berbudi tidak jatuh sebagai keutamaan. Kita diberikan kesempatan saksama untuk mengadili semula sistem pendidikan yang tertakdir dipakai sebelum ini.
Di tanah air memang terdapat usaha keras intervensi faham komersialisasi pendidikan dan produknya daripada terus menguasai seluruh sendi selerang ranahnya. Setakat ini, ia belum lagi memperdana.
Situasi Semasa
Menghadapi pasca covid-19 yang sekarang makin mengganas dan belum berpetanda akan usai, kerajaan perlu segera memikirkan pelan kecemasan. Direkodkan oleh KPM sebelum ini seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021. Kita juga sedang meniti fasa learning loss dan learning gap. Anak-anak B40 adalah golongan paling terkesan dalam penularan pandemik kerana berdepan risiko keciciran pendidikan, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia. Kajian Bank Dunia pada 29 Okt 2021 menunjukkan lebih 70 peratus kanak-kanak yang berhadapan risiko berhenti sekolah ketika pandemik berlaku di negara yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana.
UNESCO menyenaraikan Malaysia dalam kalangan negara paling lama menutup sekolah di dunia. Walaupun secara rasminya pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tetap berjalan, keberkesanannya sangat minimum. Kita percaya telah banyak usaha meningkatkan kebolehcapaian dan kebolehsampaian PdPR diusahakan oleh para pelaksana pendidikan tanah air.
Di samping masalah ketiadaan gajet dan talian internet, ramai murid tidak mempunyai suasana pembelajaran kondusif di rumah. Tidak semua murid mempunyai ruang belajar kondusif, setengahnya terpaksa berkongsi dengan ruang dapur atau ruang tamu yang dihuni ahli keluarga yang ramai.
KPM menerima peruntukan paling besar berbanding kementerian lain bagi Belanjawan 2022 iaitu RM 52.6 bilion dengan sebahagian besar untuk belanja mengurus. Pecahannya sebanyak RM 746 juta diperuntukkan untuk menaik taraf sekolah daif di seluruh negara. Pertanyaan sederhana, apakah mencukupi untuk menangani isu sekolah daif yang menjadi antara punca utama berlaku jurang pendidikan dalam kalangan murid? Banyak sekolah di Sabah dan Sarawak yang berhajatkan pembelaan, bukan membela mereka atas kelemahan, tetapi berlaku adil dan saksama, mendemokrasikan pendidikan untuk semua sebagai hak asasi kemanusiaan.
Alternatif
Kami di peringkat aktivis belia, mengidentifikasikan diri sebagai kelompok pendidik tidak formal (non-formal educator) cenderung mengharuskan usaha memikir ulang pendekatan pendidikan ini melalui lensa tanpa struktur. Di luar daripada sistem, kami dapati begitu ramai tokoh-tokoh yang mengukir jasa di persada kemanusiaan berjaya dilahirkan. Mereka mendapat pendedahan praktis di ranah pendidikan lapangan. Dengan tidak secubit pun mengabaikan kemandatorian unsur teori, ilmu dasar yang ditanamkan dalam domain pendidikan bersistem, kami anjurkan agar pemegang taruh pendidikan berani melakar arah baru pendidikan berasaskan bakat, minat. Sekolah yang luas di luar adalah alam. Sebagai sebaik-baik teknologi, alam membekali pelajaran malarsegar untuk yang tidak akan pernah habis dihirup oleh manusia berganti zaman.
Kegiatan masyarakat boleh menjadi madrasah yang berguna. Persatuan belia, gerakan sivik dan madani yang diprakarsai oleh kemajuan bertatanegara sentiasa terbuka mementaskan padang latihan kepada produk pendidikan untuk dimanusiawikan. Bukan bermaksud kita membatalkan sistem yang telah tersedia. Cuma, memberi nilai tambah. Keadaan luar jangka terhadap masa depan yang ekstrem seperti yang disebutkan oleh James Canton dalam buku beliau The Extreme Future patut direnungi dengan tindakan semerta.
Bagi membolehkannya boleh dilaksana, kerajaan disarankan menggubal segera penubuhan Jawatankuasa Bertindak yang melibatkan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan. Inti utama penubuhan jawatankuasa berkenaan ialah mewujudkan persefahaman dan mencari jalan bagi mendapatkan akses yang membenarkan pertubuhan-pertubuhan belia dan sivik masuk ke dalam sektor persekolahan. Tawaran yang boleh diberikan kepada warga pendidikan ialah wadah pembinaan manusia secara tidak formal, semi-struktural, atau tanpa berstruktur sama sekali. Lapangan hidup dan alam raya adalah sekolahnya.
Kita juga harus bersedia menghadapi kebarangkalian masa depan yang rencam. Ketidaktentuan jaminan masa depan oleh kitaran iklim yang ekstrim, fenomena alam di luar jangka, jurang digital, keselamatan makanan, keciciran pendidikan yang kita bicara ini seharusnya tidak menambah lagi. Tahun lepas kita dikejutkan oleh laporan akhbar mengenai 376 IPTS menghadapi waktu kritikal, manakala pada tahun 2020 sebanyak 60 buah IPTS telah ditutup operasi kesan pandemik yang mengurangkan jumlah pelajar.
Bersediakah kita menghadapi kenyataan bahawa kita akan menghampiri zaman – universiti tidak lagi bergedung, saiznya hanya sebesar sebuah gajet yang dibimbit. Ramai jutawan, usahawan, ilmuwan bahkan telah dilahirkan daripada ‘universiti’ berkenaan. Walaupun kita harus memperakui dan mengeraskan suara bahawa instrumen belajar melalui gajet semata-mata banyak benar kelemahannya. Bahawa gajet dan berguru dengan media digital tidak dapat memindahkan persoalan adab (ta’dib), nilai dan akhlak yang dalam dhamir sarjana sebagai buah akhir proses pendidikan.
Justeru, kita damaikan, harmonikan tuntutan kemenjadian insan dengan menawarkan kemahiran manusiawi melalui kegiatan amal jamaie. Sistem persekolahan perdana, tanpa berstruktur dibuka luas kepada aliran alternatif yang tidak berstruktur melalui kegiatan organisasi masuk dan mempelawa pelajar berkarya bersama. Mereka patut didedahkan awal realiti kontekstual yang lebih real di luar. Pendidikan tidak formal melalui persatuan-persatuan, badan sukarela hatta bergabung bersama masyarakat dalam aktiviti sosial akan menawarkan sisi penting pemprosesan kemenjadian pelajar yang telah jauh tercicir sebelumnya, lebih jauh daripada keciciran oleh pasca pandemik ini.