MAJLIS BELIA MALAYSIA

Undi 18: Jangan ada pusingan U

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) belia berharap tidak ada lagi sebarang pusingan U atau perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun (Undi 18).

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata pihaknya tidak mahu lagi berlaku sebarang tindakan yang mengelirukan belia dan rakyat seperti yang terjadi sebelum ini.

Mohd Alif berkata, pihaknya juga berharap janji dan komitmen pelaksanaan undi berkenaan oleh kerajaan dapat dipenuhi seperti yang ditetapkan.

“GPMS ingin mengingatkan semua pihak yang pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik juga harus dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan usia mengundi 18 tahun supaya berlaku adil kepada lebih empat juta rakyat Malaysia berusia lebih 21 tahun dan tidak berdaftar sebagai pemilih.

“Sebagai NGO pendidikan tertua di negara ini, GPMS juga berharap janji pelaksanaan itu dapat dilaksanakan dengan bijaksana dan berhemah supaya hak demokrasi serta suara anak muda bagi menentukan masa depan mereka dapat dijamin dengan baik,” katanya kepada BH, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hari ini memaklumkan, SPR akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan beberapa perkara lagi berhubung peruntukan undang-undang tertentu bagi pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun, selain turut membabitkan perkara berkaitan teknikal termasuk mengemas kini sistem perisian yang diperlukan.

Katanya, perkara itu dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet, semalam dan akan diusahakan supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berharap kerajaan terus beriltizam dan konsisten dengan pelaksanaan berkenaan.

Katanya, MBM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melaksanakan program serta libat urus bersama golongan muda berhubung pelaksanaan itu.

“MBM akan menjadi pemantau dalam pelaksanaan ini, seperti peranan MBM sebelum ini menghantar memorandum bersama beberapa gabungan MBM kepada SPR untuk mengotakan janji mempercepat pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun tanpa bertangguh.

“Dalam memorandum itu, MBM dan gabungan MBM meminta supaya badan ini dibabitkan secara aktif dalam pelaksanaan itu,” katanya.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri turut mengharapkan komitmen kerajaan bagi memastikan pelaksanaan itu.

“MPPK mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas komitmen dan jaminan yang diberikan, selain kepada KBS yang terus komited dalam membawa suara belia serta melaksanakan pelbagai program berkaitan,” katanya.

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/812085/undi-18-jangan-ada-pusingan-u

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »