UCAPAN DASAR
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
5 OKTOBER 2018
MOVENPICK HOTEL, SEPANG
“MEMPERKUKUH IDEALISME MENGISI PERUBAHAN”
Bismillahirrahmanirrahim.
- Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke hadrat Allah rabbul Alamin yang maha pengampun lagi maha mengasihani dengan izinNya dapat kita berkumpul di dalam dewan yang indah ini.
Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
- Pertamanya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran keseluruhan perwakilan yang mewakili badan-badan gabungan MBM ke MPAT pada kali ini. MPAT kali ini yang pertama dalam era Malaysia Baharu dan ketika sambutan 7 Dekad MBM.
Bersamalah kita bersama menyusun agenda organisasi demi mengangkat martabat seluruh anak bangsa. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
- Perhimpunan pada tahun ini akan saya jadikan medan terbaik untuk menyampaikan beberapa agenda penting supaya dapat menjadi panduan kepada bakal-bakal pemimpin belia selepas ini. Tajuk ‘MEMPERKUKUH IDEALISME MENGISI PERUBAHAN’ ini memfokuskan kepada tiga bahagian penting iaitu cabaran, sumbangan dan harapan Majlis Belia Malaysia dalam mengisi realiti perjuangan memartabat belia Malaysia.
PERUBAHAN PANTAS DUNIA
- Dunia bergerak pantas dengan perubahan. Sempadan antara negara sudah terlalu kabur. Globalisasi dan pergerakan manusia menyukarkan kita mengenali antara yang asli atau tiruan, antara yang asal atau terkemudian, antara umpan atau habuan. Hanya mereka yang mempunyai jati diri dan ilmu dapat membezakan perkara ini.
- Perdagangan yang terbuka sangat kompleks. Negara kecil boleh menguasai ekonomi negara besar. Kini perniagaan dan perdagangan bukan cuma dikendali oleh syarikat swasta malah kerajaan sesebuah negara turut berniaga. Matawang kini bukan untuk sesebuah negara sahaja, tetapi juga boleh menjadi matawang negara lain.
ANTARABANGSA
- Kita melihat dan mendengar ketidakadilan dan penindasan berlaku di dalam urus tadbir dunia. Dunia dikawal hanya oleh segelintir negara yang seolah-olah dunia ini baru wujud selepas Perang Dunia ke-2. Kita mahukan perubahan namun bukanlah tindakan yang menjadikan orang tidak bersalah menjadi mangsa. Hari ini kita dapat melihat krisis dan konflik sempadan menjadi masalah utama dunia. Sebagai contoh konflik Palestin, konflik India-Pakistan, Konflik Laut Cina selatan. Apakah kita harus menunggu sehingga tercetusnya lagi sejarah hitam perang dunia seterusnya?
- MBM menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangga terhadap ucapan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamed di persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 di New York baru-baru ini. Dokongan dan kritikan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, penindasan terhadap kaum Roghinya, penstrukturan semula kuasa Veto Majlis Keselamatan PBB serta kritikan terhadap perdagangan tariff yang menekan negara kerdil. Reform PBB terhadap kuasa Veto ini dapat mengurangkan ketidakstabilan sistem antarabangsa dan kesan buruk kepada negara-negara kecil dan membangun seperti Malaysia yang bergantung kepada undang-undang antarabangsa sebagai jaminan keselamatan dan kesejahretaan, baik dari segi politik, ketenteraan mahupun ekonomi.
KEBANGKITAN KUASA ORANG MUDA
- Statistik menunjukkan dunia kini dipenuhi dengan golongan Muda dengan sejumlah 1.1 bilion atau 18% daripada jumlah populasi dunia. Negara ASEAN sahaja dihuni 60% orang Muda daripada 600 juta populasi. Kelompok Muda juga sudah manguasai perniagaan besar dalam dunia.
- Kebangkitan generasi Muda ni juga dikuatkan dengan penerimaan kepimpinan muda sebagai Ketua negara seperti Emmanuel Macron di Perancis, Justin Trudeau di Canada. Kelompok Muda menjadi penentu kepada pucuk pimpinan politik negara. Kita ucapkan tahniah kepada YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencatat sejarah menteri kabinet termuda negara.
PASCA PILIHAN RAYA UMUM KE-14
- Umum telah tahu keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang menzahirkan betapa besarnya kuasa rakyat yang mampu mengubah kerajaan dan kepimpinan negara. Walaupun dibidani oleh pemerintah terdahu, namun MBM tetap akan bergerak melaksanakan segala usaha demi masa depan belia negara. Ini kerana MBM dipandu oleh idealisme. Idealisme perjuangan belia yang tidak mengira latar belakang bangsa, agama mahupu politik.
- Disini MBM ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru negara yang dipimpin oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad. Disamping itu, ucapan terima kasih diucapkan kepada bekas Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak serta bekas YB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selain Bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, En. Khairy Jamaluddin Abu Bakar di atas sokongan dan dokongan kepada MBM sekama ini.
ISU 18 TAHUN MENGUNDI
- Peralihan politik negara hari ini dinatijahkan oleh anak muda lebih berfikiran kritikal dan mahukan perubahan walaupun ada pandangan ‘belia’ dianggap sebagai kelompok pasif dalam politik. Rentetan itu saranan untuk memberi ruang kepada mereka dalam proses ini turut diangkat dan telah diluluskan oleh kerajaan bagi menurunkan had umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun.
- MBM menyambut baik cadangan ini kerana memberi ruang partisipasi kepada hampir 4 juta pengundi baru. Kita beranggapan bahawasanya umur 18 tahun ini sudah matang untuk memikul amanah dan bertanggungjawab dalam proses jual beli dan urusan kontrak.
- MBM melihat ianya adalah satu langkah besar dan pengiktirafan namun mengundang cabaran besar kepada bangsa Malaysia. Perkara utama membetulkan ‘wealthanchung’ @ pandangan umum bahawa partisipasi rakyat dalam demokrasi bukan sekadar satu orang satu undi.
- Bagi maksud itu, MBM telah pun menggerakkan program “Sekolah Politik” bersama-sama pihak Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu usaha meningkatkan kefahaman dengan lebih mendalam tentang pelbagai aspek kenegaraan seperti perlembagaan negara, institusi raja, dasar dan polisi, cabaran berpolitik dan banyak lagi kepada golongan muda negara. Ia sekali gus dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dikalangan belia di Malaysia mengenai sistem politik negara, demokrasi dan peranan rakyat dalam menentukan hala tuju masa hadapan negara.
REVOLUSI 4.0 DAN TENAGA KERJA
- Belia harus bersedia dengan cabaran mendatang. Menurut laporan Jabatan Perdana Menteri, kira-kira 65% pekerjaan sedia ada di negara ini diramal tidak wujud lagi pada 2027. Ini semuanya kerana dunia bergerak terlalu pantas dan penguasaan ekonomi digital menggantikan ekonomi tradisi. Itu pada tahun 2027 iaitu 11 tahun mendatang, bayangkan pada tahun 2050, mungkin 90% dari pekerjaan semasa akan terhapus.
- MBM komited dalam memperjuangkan industri TVET di negara ini kerana potensi dalam sektor pekerjaan di masa hadapan. Laporan World Economic Forum 2018 menunjukkan peningkatan keperluan terhadap “new roles” atau “Peranan Baru” dalam sektor industri ASEAN sehingga negara perlu melakukan “Proactive Investment” dalam membangunkan bakat-bakat mahir di peringkat global. Dalam hal ini, selain dari pada skill teknikal dan kejuruteraan mesin, saya sarankan supaya kita turut kembali kepada ekonomi agrikultur dan tradisional akan lebih banyak dikuasai negara-negara maju dek kerana permintaan untuk earth-concious, organic, environmentalist. Melihat kepada hal ini, kita perlu seimbang supaya pasaran makanan dan hasil pertanian serta kemahiran teknologi selaras dengan permintaan memenuhi keperluan asas dapat dilaksanakan.
KEFAHAMAN / ILMU KEPIMPINAN TIDAK STATIK
- Kepimpinan yang berkesan sangat diperlukan bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada negara. Negara akan lebih maju dan berkembang pesat jika kita mempunyai ramai pemimpin yang hebat, berkarisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Saya menyeru kepada semua pemimpin belia di semua peringkat agar kita jangan cepat berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Tetapkan matlamat yang lebih tinggi. Jika kita berjaya menjadi pemimpin di peringkat daerah, pergi pula ke peringkat negeri. Begitu lah seterusnya sehingga ke peringkat tertinggi negara. Berhenti daripada sentiasa selesa di dalam “comfort zone” dan sentiasa cabar diri sendiri.
- Pesanan saya, untuk menjadi pemimpin, anda harus ada ilmu dan mampu memimpin diri sendiri. Selain daripada itu, seorang pemimpin harus sentiasa bersedia memimpin orang lain. Dalam hal ini, pemimpin itu perlu mempunyai ketegasan, keyakinan dan keikhlasan dalam memimpin. Seorang pemimpin itu juga diukur daripada kemampuan mereka dalam melahirkan pemimpin baru. Sepertimana yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan MBM yang lalu, kita tidak pernah gagal dalam melahirkan pemimpin-pemimpi muda yang mampu memegang tampuk organisasi tertinggi belia negara ini.
- MBM dalam isu ini akan terus memastikan amanah yang diberikan oleh badan gabungan melalui penyaluran pimpinan belia, dijaga dan dibangunkan dengan sebaik mungkin. MBM sebagai payung kepada pertubuhan belia di Malaysia akan terus menghasilkan pemimpin-pemimpin belia yang berwibawa sebagai kesinambungan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MBM yang terdahulu.
DOKONGAN RAKYAT – NGO RELEVANT
- Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya individu atau komersial. NGO menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan menjaga kebajikan rakyat kerana ia mampu mengisi ruang yang tidak dapat dicapai oleh kerajaan. Begitu lah prinsip asas kepada semua NGO belia, selain mampu menjadi kuasa pendesak kepada mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan.
- Atas sebab itu, NGO belia perlu kekal relevan dikalangan anak muda dalam menjadi platform mereka bersuara. Dalam menyampaikan suara dan aspirasi mereka, ruang harus diberikan seluas-luasnya. MBM sememangnya mengerti akan keperluan itu dan program-program seperti Youth Ideas, Youth Leaders dan MPBN menjadi pentas untuk mereka menyampaikan suara mereka terus ke peringkat kerajaan. Untuk terus kekal relevan juga, pemimpin pertubuhan belia mestilah berani to learn and to unlearned. Ini bermaksud kita mesti belajar perkara-perkara baru dan berani meninggalkan cara-cara lama yang sudah lapuk.
DANA – KEMANDIRIAN NGO
- Membangunkan NGO yang kuat dan berkualiti memang tidak mudah. Apa yang dilakukan NGO bukanlah sesuatu yang profitable, sehingga sulit bagi NGO untuk mendapatkan dana operasi. Untuk itu NGO perlu menjadi lebih kreatif dan independent dalam melakukan fundraising. Persatuan belia harus lebih berani dalam menjalikan kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat dan GLC dalam mempelbagaikan sumber dana.
- Untuk itu kita perlu memikirkan program-program belia yang boleh dipasarkan dalam erti kata “re-packaging” agar masyarakat umum berminat untuk menaja dan munyumbang bersama.
POSITIVE YOUTH DEVELOPMENT – DASAR BELIA MALAYSIA
- Dalam melangkah ke era Malaysia Baru ini, segala perancangan dalam membentuk belia masa hadapan perlu segera direncana. Belia perlu diisi dengan semangat nasionalisma, jati diri yang tinggi serta berdaya saing dalam terus melangkah ke masa hadapan yang lebih mencabar. Pembangunan Belia Positif (PYD) yang menjadi teras di dalam Dasar Belia Malaysia 2015 boleh dijadikan rujukan untuk merencana program.
- PYD mengubah pendekatan defisit sebagai cara kerja pembangunan belia lapuk di mana tumpuan kepada menangani permasalahan sosial belia semata-mata. Terdapat pepatah dalam PYD “Orang muda tidak membesar dalam program, mereka membesar di dalam masyarakat”. PYD dibina dalam ruang lingkup institusi sosial yang merangsang, bersifat interaktif di mana setiap pihak berhubung secara positif.
- Dalam hikayat Malim Deman menyebutkan persoalan ini dalam ungkapan:
Yang capek datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya
Yang kecil terambing lintang
Yang jarak tolak-tolakkan
Yang pendek tinjau-meninjau
Yang kurap mengekor angin
Masing-masing dengan gunanya
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh
Masing-masing dengan ayatnya
(Hikayat Malim Deman)
PENUTUP
- MPAT pada kali ini akan diadakan pemilihan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBM untuk sesi 2018-2020. Pemilihan adalah perkara biasa dan ia merupakan proses peralihan kepimpinan yang lumrah.
- Saya juga berharap kita dapat menghindarkan budaya negatif dan tidak sihat yang wujud pada musim pemilihan. Jauhilah budaya keji seperi fitnah-memfitnah dan mengadu-domba.
- Bersidanglah dengan cara yang sihat, semoga persidangan ini mendapat keberkatan Allah s.w.t dan memberikan manfaat kepada generasi muda Malaysia seluruhnya. Kita telah lama mengenali antara satu sama lain. Saudara-saudari pilihlah pemimpin dari kalangan mereka yang boleh buat kerja dan mampu memberikan sumbangan kepada pergerakan belia.
- Saya amat berharap agar soal pemilihan tidak mendominasikan persidangan sehingga menenggelamkan isu-isu belia yang lebih penting. Perjuangan pergerakan belia tidak akan selesai. Perjalanan kita masih jauh. Sebagai pejuang, kita harus memantapkan iltizam dan meningkatkan keyakinan diri. Membujur lalu, melintang patah. Hanya dengan kekentalan diri, kita akan dapat menggarap satu perjuangan yang cukup bermakna untuk generasi muda Malaysia.
- Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Bersidang buat semua perwakilan. Semoga usaha kita ini diberkati Allah S.W.T. Saya tinggalkan pesan ini buat semua para perwakilan ;
Padalah itu aku khabari
Padamu wahai muda jauhari
Kiranya kabul Allah memberi
Dirimu jadi pemulih negeri!
(Za’ba, Syair Pedoman Belia)
Orang muda pemegang kunci pemulihan masyarakat. Semoga Tuhan mengabuli.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.