MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ucapan Dasar Presiden MBM di MPAT MBM Kali Ke-66

UCAPAN DASAR

TUAN HAJI MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDDIN

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MESYUARAT PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA KALI KE-64

 

“MENELUSURI TRANSFORMASI, MEMPERTEGUH ASPIRASI”

 

Tarikh

21 Julai 2017 (Jumaat)

Tempat

Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Saya bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan InayahNya maka saya berpeluang untuk menyampaikan perutusan sebagai Presiden dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia kali ke-66.
  2. MPAT bukan sekadar rutin tahunan kita berhimpun, tetapi ianya merupakan satu manifestasi kepatuhan kita menjunjung tinggi semangat berpersatuan dan semangat setiakawan dalam rencam kepelbagaian persatuan di bawah MBM.
  3. Kita sungguh berbangga dapat bersama-sama meraikan keunikan pertubuhan-pertubuhan belia dari pelbagai latarbelakang sebagai satu kekuatan ampuh kita. Ini menunjukkan satu semangat kebersamaan yang tinggi para perwakilan membentuk belia unggul yang benar-benar mencerminkan satu bangsa Malaysia.
  4. Dalam perhimpunan pada tahun ini, saya ingin menggariskan beberapa agenda penting yang akan menjadi tunggak pelaksanaan program pembangunan belia di bawah MBM. Tajuk Menelusuri Transformasi Memperteguh Aspirasi ini memfokuskan peranan penting pertubuhan belia sebagai sebuah organisasi bersama kerajaan mencapai tujuan membangun masyarakat maju.

 

SOLIDARITI BERSAMA MASYARAKAT PALESTIN

  1. Baru-baru ini rejim Zionis telah menghalang umat Islam mengerjakan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa sejak 14 Julai lalu. Tindakan kasar dan membawa kepada episod pembunuhan belia Palastin di Kompleks Al-Aqsa oleh Tentera Zionis sangat menyayat hati. Tindakan memasang laluan elektronik dan menghalang Mufti Besar al-Quds, Sheikh Muhammad Hussein, Ketua Majlis Wakaf Islam serta Pengarah Jabatan Wakaf al-Quds daripada memasuki masjid sedang pada masa yang sama, polis Zionis memukul sebahagian daripada mereka sangat melampaui batas.
  2. MBM mengecam tindakan ini dan menyifatkan ianya sebagai tindakan biadab kerana pencabulan dan pelanggaran hak asasi masyarakat agama lain beribadah. Saya menyeru agar belia seluruh Negara bersolidariti bersama-sama masyarakat dunia menentang tindakan jahat Rejim Zionis ini. Usaha untuk mengembalikan penduduk Palestin ke tanah air mereka perlu dibantu dan diteruskan. Marilah sama-sama, tanpa mengira kaum dan agama, kita bersatu menyokong tuntutan rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka seperti ketetapan yang diluluskan PBB.

 

ISU DAN CABARAN GLOBAL

  1. Mengikuti isu keperluan dan kehendak golongan belia terus menjadi agenda di peringkat global memberi gambaran kepada cabaran semasa yang akan kita tempuhi. Dalam mesyuarat European Economic dan Social Committee, iaitu sebuah badan konsultatif untuk Kesatuan Eropah pada 18 Julai 2017, turut membincangkan soal kebolehpekerjaan (employability), fungsi organisasi belia dalam ‘pengurusan bersama’, dan isu definisi kesukarelaan yang disempitkan. Isu-isu seperti peluang pekerjaan, kelayakan bekerja, kualiti kerja ini berkait rapat dengan tahap kesejahteraan rakyat dan masyarakat.
  2. Pada awal bulan Julai ini pula pertubuhan European Youth Forum menyuarakan isu mengenai unpaid internship atau latihan praktikal tidak berbayar dan tindakan kerajaan dalam menangani ketidak-adilan (discrimination) dalam pasaran kerja dan kualiti kerja di beberapa bahagian negara Kesatuan Eropah. Persoalan ini kemudian dibangkitkan dalam High Level Political Forum on Sustainable Development di New York. Melalui contoh yang saya berikan di sini ianya jelas menjukkan fungsi sebenar pertubuhan belia di pelbagai peringkat iaitu menyuarakan dan menjelaskan sesuatu masalah masayarakat dan paling utama mencari jalan bagi menyelesaikan permasalahan ini.

 

INDUSTRI 4.0

  1. Setiap masa berlalu, kemajuan yang dihasilkan semakin pantas. Kini, kita berada dipermulaan Revolusi Perindustian Keempat atau Revolusi Industri 4.0 yang akan mengubah cara manusia hidup dan bekerja. Kita masih tidak tahu bagaimana kesudahannya, tetapi apa yang pasti kita harus bertindak dengan cara komprehensif, melibatkan semua pihak seluruh dunia, dari sektor awam dan swasta kepada akademik serta masyarakat keseluruhannya. Pada Industri 4.0 ini, ramai pakar melihat tugas hakiki manusia akan digantikan oleh tenaga robotik, jutaan manusia hilang kerja terutamanya di sektor pengilangan.
  2. Justeru itu, semua pihak perlu bersedia dengan reskill dan upskill supaya pekerja-pekerja ini terus memberi sumbangan. Berdasarkan sejarah, Malaysia dan negara-negara ASEAN sebelum ini bersandarkan kepada pekerja berkemahiran rendah dan murah sebagai tarikan pasaran mereka. Ini menyebabkan Asean terdedah kepada pengangguran jika segalanya bertukar kepada automatik pada Industri 4.0
  3. Menyedari pentingnya kesedaran di kalangan belia mengenai cabaran dalam Industri 4.0, MBM telah mula menggerakkan sesi penerangan berkaitan Cabaran, Ancaman atau Peluang Revolusi Industri 4.0 kepada lebih 4000 belia berkemahiran di 43 institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) dan 3 buah kilang yang menjadi Rakan Strategik 1Belia 1Kemahiran MBM.

PEPERANGAN MENENTANG KEGANASAN

  1. Peperangan terhadap keganasan atau GWoT – Global War on Terrorism – adalah isu dunia hari namun ia bukanlah tiket untuk menuding jari terhadap sesiapa tanpa asas yang kukuh. Generalisasi yang sempit akan membawa kepada sikap melabel yang mudah membawa prasangka negatif. Kita menolak DAESH atas nyata sikap dan tindakan mereka melampaui batas manusia atas nama agama Islam. Namun melebal Islam menaja atau menggalakkan keganasan adalah ZETO (Zero Total) sama sekali. Kita ingin menyatakan komitmen kita secara berterusan membina dunia yang lebih sejahtera untuk masa depan bermula daripada golongan belia.

TOLAK POLITIK MENGHANCURKAN

  1. Kali ini kita bersidang di tengah kehangatan iklim politik menjelang PRU14. Sistem demokrasi memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dalam menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Parti memang pelbagai, programnya juga beragam, tetapi semuanya perlu bersetuju dalam komitmen menjayakan prinsip dan nilai demokrasi yang bertunjang pada kuasa dan suara rakyat.
  2. Tiada salahnya untuk masyarakat berpolitik dalam parti siasah kerana ini diraikan sebagai satu kaedah demokrasi. Perlumbaan untuk memenangi hati rakyat sama ada dalam bentuk persepsi atau yang lebih penting undi perlu beradab. Rancangan pembangunan yang dikemukan oleh pelbagai pihak berserta tawaran agar diberikan mandat semula memberikan kelebihan kepada rakyat untuk melihat dan membuat penilaian mereka sendiri.
  3. Dalam masyarakat majmuk yang masih rapuh, rakyat harus cukup cerdas, dewasa dan bijaksana menyikapi pelbagai kerenah perpolitikan agar tidak terseret silang sengketa yang memecah integrasi nasional. Gejala pengeksploitasian sentimen perkauman berlebihan dan tindakan racist harus diwaspadai demi memelihara kerukunan hidup yang telah kita nikmati ini. Sikap tidak waras seperti itulah yang secara metaforik diungkapkan dalam al-Qur’an:

 

 “Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali.” (QS. An Nahl: 92)

 

  1. Bagi maksud tersebut MBM menentang segala bentuk politik menghancurkan sebaliknya kita berusaha ke arah Kematangan Politik dalam memantapkan kaedah berpolitik kita. Kematangan Politik penuh dengan sikap berjiwa besar, lapang dada dan perlumbaan ke arah menawarkan yang terbaik yang ada pada setiap parti siasah menggantikan sentimen politik kebencian yang menjurus ke arah fitnah mencipta polimik-polimik yang tidak berasas.

BELIA DAN INSTITUSI DEMOKRASI

  1. Laporan Indeks Belia Malaysia yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Belia (IYRES) bahawa domain Sosialisasi Politk antara yang terendah dan perlu diamati. Dapatan ini sangat signifikan terhadap ruang pendedahan mereka dengan isu semasa dan jumlah penglibatan dalam pergerakan belia perlu dipertingkatkan. Institusi pergerakan belia inilah adalah tapak awal dan asas mengenal sistem demokrasi pemilihan yang terbuka.
  2. Kita meyakini bahawa menyuburkan amalan ini akan mengembalikan keyakinan belia terhadap sistem bermasyarakat ini. MBM melihat kesempatan menjadi salah sebuah organisasi Pemerhati Pilihanraya yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada PRU13 dahulu dapat membina keyakinan golongan belia terhadap sistem ini.

 

TN50 DAN MASA DEPAN MALAYSIA

  1. Kita tidak mampu untuk memastikan dan menyediakan masa depan yang gemilang untuk belia Malaysia, tetapi kita mampu menyediakan belia untuk masa depan Malaysia kerana itu adalah tugas hakiki MBM dan pertubuhan belia. Membuat persedian untuk masa depan memerlukan kita berfikiran secara futuristik dengan kemahiran membaca persekitaran samasa dan akan datang yang berubah.
  2. Namun dalam merencana masa depan faktor membangun kemanusian dengan nilai dan jati diri yang seutuhnya. Kita percaya tamadun yang dihasratkan bukan cuma berapa tinggi dan banyaknya bangunan batu yang dibina tetapi sejauh mana manusianya hidup dalam ketertiban dan adab yang tinggi kerana itulah asas kepada peradaban negara.
  3. Gagasan TN50 ini, merupakan satu lagi wawasan penting negara, sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020. Oleh itu, TN50 atau Transformasi Nasional 2050 ini adalah penting, relavan dan amat signifikan serta kena pada masanya, dalam usaha kita untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, meletakkan hala tuju dan aspirasi negara iaitu bagaimanakah nasib dan hala tuju kita selepas tahun 2020 iaitu dalam tempoh 30 tahun dari sekarang sehingga tahun 2050.
  4. Kita juga perlu melihat ke hadapan, menjangkakan apa yang bakal berlaku dan ini memerlukan kajian ilmiah dan ilmu pengetahuan dan pembacaan yang mendalam. Terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi, ada yang boleh dijangka dan ada yang berlaku diluar jangkauan dan kawalan. Tetapi sebagai manusia biasa, kita perlu bersedia menyediakan diri atau generasi kita untuk kehidupan mendatang yang sentiasa dipenuhi cabaran dalam memperoleh kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat dengan menjadikan sejarah sebagai panduan kehidupan dalam kita mencipta kemajuan masa depan.

 

DIALOG INSPIRASIKU TN50

  1. Sepanjang Ramadhan lalu, saya telah menjelajah ke seluruh negeri dalam siri jelajah Inspirasiku TN50 untuk mendengar dari anak muda tanggapan masa depan yang mereka inginkan untuk tahun 2050. Harus saya akui, saya amat terkejut dan berbangga dengan apa yang telah ditonjolkan oleh belia di seluruh negara. Secara keseluruhannya anak-anak muda kini sudah matang dalam memberikan hujah dan pendapat melibatkan politik, social, ekonomi, pendidikan dan banyak lagi.
  2. Sepertimana yang kita sedia maklum, TN50 menjadi teras utama kerajaan dalam merancang apa jua program dan pembangunan negara. MBM menjadi salah sebuah badan penggerak dalam membantu pihak kerajaan dalam proses pengumpulan data dan maklumat ini. Segala inspirasi dan aspirasi dari golongan belia telah dikumpulkan melalui sesi-sesi dialog dan borang-borang yang diedarkan di setiap program MBM. Setakat ini, MBM telah berjaya merekodkan sebanyak 2191 inspirasi dan terima kasih diucapkan kepada badan gabungan MBM yang bersama-sama menjayakan usaha ini. Tahniah dan terima kasih kepada badan-badan gabungan MBM yang memberi kerjasama dalam menjayakan siri jelajah TN50 tersebut.
  3. Di sebalik kita berdialog dengan pelbagai kelompok sebagimana terkadung dalam Dasar Belia Malaysia 2015, sesuatu yang amat dekat di hati saya adalah usaha yang dilakukan oleh Ketua Penerangan MBM, Sdr Rizan Hassan mendekati satu sisi golongan belia yang terpinggir dari masyarakat. Secara santai, beliau bersama-sama golongan belia jalanan, golongan belia transgender dan gay, belia yang terlibat dalam akitiviti dadah, pekerja seks, bekas banduan serta HIV positif demi untuk memahami isi hati mereka selain memastikan golongan ini tidak diabaikan hak mereka sebagai manusia biasa.

SEMANGAT CINTAKAN NEGARA

  1. Saya menginspirasikan menjelang 2050 nanti anak-anak muda dan Malaysia berjaya mencapai matlamat 20 negara terbaik di dunia. Anak-anak muda Malaysia membawa Jalur Gemilang bersama-sama mereka walau kemana mereka pergi keseluruh dunia. Mereka berbangga berbahasa Malaysia dalam berkomunikasi dengan masyarakat. Malah dalam jiwa mereka mesti ada semangat rela berkorban demi tanah air yang tercinta. Patrotik dalam maksud yang diungkapkan “tidak ada seorang warga yang berasa kerdil menjadi warganegara’
  2. Suka saya untuk mengambil contoh atlit-atlit Malaysia yang bertanding dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti Dato’ Lee Chong Wei di kejohanan Olimpik misalnya dan atlit paralimpik negara kita yang membawa pulang 3 pingat emas di kejohanan Paralimpik yang lalu. Malah Ziyad dan Abdul Latiff pada minggu lalu sekali lagi memecah rekod dunia sekaligus memenangi pingat emas di kejohanan dunia di London. Mereka ini berada di dalam kelas tersendiri dalam arena masing-masing di peringkat dunia. Titisan air mata mereka ketika lagu negaraku berkumandang dapat membayangkan betapa besar pengorbanan dan semangat mereka untuk tanah air tercinta.
  3. ‘Moments of Unity’ sebegini perlu dipergandakan kerana ia dapat membantu membentuk perpaduan rakyat tanpa mengira latar belakang, keturunan dan agama berpadu atas nama negara.

 

SUKAN DAN GENERASI MUDA

  1. Budaya sukan semakin mendapat tempat dihati generasi belia masakini. Anak-anak muda kini semakin ramai menjadikan amalan bersukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka. Aktiviti bersukan bukan sahaja menjadi trend dalam masyarakat, tetapi juga boleh menjadi salah satu sumber pendapatan menerusi gerakan Industri sukan.
  2. Di MBM sendiri, kami telah mula menggerakkan program 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) dimana program ini asasnya berusaha meningkatkan mutu sukan Negara. Namun ia juga secaratidak langsung memberi ruang dan peluang kepada golongan belia untuk meneroka pekerjaan baru dalam bidang kepengadilan dan pengurusan pertandingan yang mana bidang ini boleh menambah pendapatan sejajar perkembangan industri sukan.
  3. Buat pertama kalinya, salah seorang Exco MBM iaitu Sdr. Wan Mohd Husni bin Abdullah telah dilantik menjadi Pengurus Pasukan Sepak Takraw Chinlone pada Sukan Sea ke-29 yang sebenarnya 300% menjanjikan pingat emas untuk Negara. Insya Allah.

 

SUKAN SEA

  1. Sukan ditandai dengan kemenangan pingat yang diraih sebagai manifestasi kejayaan individu dan kumpulan malah juga negara. Keadaan ini memberikan kita satu semangat baru persaingan push to your limit membentuk sikap yakin pada diri dan percaya pada diri sendiri.
  2. Slogan ‘BANGKIT BERSAMA’ perlu dijiwai sebagai pemangkin untuk belia Malaysia bangkit bersama-sama menjadikan diri insan yang kuat melahirkan generasi minda kelas pertama. Ianya bukan sekadar hanya sebuah slogan. Ayuh kita sebagai pemimpin belia menyalakan semangat ini ke dalam sanubari generasi muda untuk sama-sama terus berbakti kepada masyarakat dan tanah air sebagimana hubatnya pimpinan belia seluruh peringkat membawa berlari baton Sukan SEA.
  3. YB Menteri mengharapkan Sukan SEA ini dijuarai oleh Malaysia. Di peringkat MBM, kita berani untuk mengatakan pingat pertama itu milik Negara kerana pada tanggal 16 Ogos 2017, pada jam 12.00 tengahari, Insha Allah, dengan izin Allah, ia datangnya daripada acara sepak takraw chinlone yang pengurusnya adalah Exco Majlis Belia Malaysia! Sama-samalah kita mendoakan ianya menjadi kenyataan.
  4. Jika YB Menteri berani turun padang melibatkan diri dalam acara sukan Polo, kita juga berbangga dengan adanya Exco MBM menjadi Pengurus Pasukan Sepak Takraw Chinlone di Sukan SEA.

 

HARI BELIA NEGARA – KEMBALI KE PUTRAJAYA

  1. 15 Mei setiap tahun telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sebagai Hari Belia Negara. Bulan Mei setiap tahun juga lazimnya telah dikenali sebagai bulan belia dengan sambutan Hari Belia Negara digerakkan ke seluruh Negara.
  2. Putrajaya kini telah sinonim dengan Festival Belia sempena sambutan Hari Belia Negara sejak beberapa tahun yang lalu. Ia mengundang kepada ratusan aktiviti belia dijalankan dan menarik jutaan kehadiran belia dan pengunjung ke temasya ini. Selain menjadi medan penyerlahan bakat, kreativiti dan kepimpinan belia, ia juga mampu menjana ekonomi belia secara tidak langsung.
  3. Alhamdulillah, berkat usaha keras seluruh keluarga besar MBM, Sambutan Hari Belia Negara berjaya dikembalikan ke Putrajaya. Walaupun dengan bajet yang terhad, kita berjaya membuktikan atas satu semangat kebersamaan seluruh badan gabungan MBM, kita mampu melakukannya. Tahniah dan terima kasih.

 

MBM SEBAGAI BADAN INDUK PERTUBUHAN BELIA

  1. Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 dengan jelas telah menyatakan bahawasanya Majlis Belia Malaysia ialah badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan yang menggabungkan dan menyelaras semua pertubuhan belia yang bergabung dengannya. Ini bukan satu kebetulan. Ia adalah manifestasi perjuangan dan kesungguhan pimpinan belia terdahulu di samping pentadbir awam yang memahami suasana dan keperluan tersebut.
  2. Semua pemimpin belia harus faham dan hadam peruntukan akta ini. Betapa besar fungsi dan kedudukan MBM di peringkat kebangsaan sehingga termaktub di dalam akta seharusnya menjadi medium penggerak kepada keseluruhan pemimpin MBM bersama merencana strategi pembangunan belia Negara.
  3. Bukan sahaja pemimpin, pentadbir juga perlu bersama-sama faham secara jelas akan peranan dan fungsi MBM sepertimana yang termaktub didalam akta 668. Pemimpin dan pentadbir harus bersama-sama sedar akan kesan jika mencabar kreadibiliti MBM. Tidak ada mana-mana pihak mudah mengambil alih peranan MBM dalam menjadi badan induk pertubuhan belia negara ini selain menjadi bahan tujukan utama para belia dalam menyuarakan pandangan dan pendapat.
  4. Menggalakkan dan mendorong pertubuhan belia supaya memainkan peranan yang positif dan berkesan kepada merupakan objektif pertama MBM didalam Akta 668. Ianya selari dengan konsep yang tertulis di dalam Dasar Belia Negara 2015 yang menggalakkan Pembangunan Belia Positif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
  5. Dalam maksud itu, MBM berpandangan perlunya bantuan pengupayaan pertubuhan bagi bantuan pentadbiran dan aktiviti belia disegerakan. Malah MBM juga telah menyatakan perkara ini sebagai sebahagian daripada memo konsultasi bajet tahunan Negara.

 

Jika sikit sama diracih

Bila besar sama di pikul.

Ini tandanya orang berkasih

Dalam perit doa dimakbul

 

KEPIMPINAN MENDEWASAKAN

  1. Tiada Jamaah melainkan ketua, tiada ketua melainkan ketaatan dan tiada ketaatan melainkan kepercayaan sangat memberi pengajaran kepada kami untuk terus memberi kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga Penaung Majlis Belia Malaysia.
  2. Meneluri pelbagai transformasi yang diilhamkan sangat memberi makna kepada golongan belia bahawa perubahan memerlukan masa dan pendewasaan bagi membangkitkan iltizam membangunkan negara bangsa. Kita mendoakan agar YAB Perdana Menteri agar terus diberi taufiq dan hidayah serta kelapangan dalam mendepani cabaran dan tugas kepimpinan Negara.
  3. Kita Kita mengharapkan agar YAB Perdana Menteri dapat bersama dengan kepimpinan belia dan seluruh warga badan gabungan MBM bagi merayakan ulang tahun penubuhan MBM ke-70 pada 23 Julai tahun hadapan.

 

PENUTUP

  1. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memastikan kelangsungan MBM. Terima kasih yang tidak terkira kepada Yang Berhormat Brig. Jen. Khairy Jamaluddin Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ketua Setiausaha serta warga KBS yang sentiasa menjadikan MBM sebagai rakan kongsi pembangunan belia yang mutlak. Semoga kerjasama ini akan terus berkekalan.
  2. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada barisan ahli Dewan Tertinggi yang sentiasa bersifat proaktif, telus dan bersemangat untuk membantu kepimpinan dan survival MBM. Tidak dilupakan juga terima kasih saya ucapkan kepada Sekretariat Pentadbiran MBM serta barisan kakitangan yang sentiasa bekerja dengan penuh amanah.
  3. Marilah kita meneruskan perjuangan ini dengan menginsafi bahawa kita perlu berusaha dan bergerak secara bersama. Kita harus menginsafi bahawa sebagai insan kita mempunyai segala ciri kekuatan, kelemahan dan keupayaan yang terbatas. Melalui perpaduan dan kebersamaan maka kekuatan kita akan membentuk satu sinergi kekuatan setia Menelusuri Transformasi Memperteguh Aspirasi.
  4. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Bersidang buat semua perwakilan. Semoga usaha kita ini diberkati Allah S.W.T.

 

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »