MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ubah corak pemikiran, jadi belia kelas pertama

MELAKA 21 Jun 2013 – Golongan belia masa kini perlu mengubah corak pemikiran mereka seiring dengan peredaran zaman supaya modal insan kelas pertama dapat dilahirkan sebagai barisan pelapis kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, belia harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal supaya berupaya menangkis segala ancaman anasir yang mahu mengkucar-kacirkan negara.

Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, cabaran dihadapi golongan itu juga semakin getir dan memerlukan mereka untuk lebih peka terhadap isu semasa dan global.

“Pembangunan belia tidaklah semata-mata merujuk kepada definisi umur belia iaitu 15 hingga 40 tahun tetapi lebih bermaksud kepada melahirkan gerakan dalam kalangan belia.

“Hanya melalui gerakan, maka mobilasi belia ke arah menerajui pelbagai aspek pembangunan negara dapat dijayakan termasuk bersama-sama kerajaan ke arah mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Zali Mat Yasin.

Idris berkata, program pembangunan belia yang yang dianjurkan pertubuhan belia juga perlu menggunakan pendekatan baharu yang keberkesanannya dapat dinilai bagi mengelak berlaku pembaziran peruntukan kerajaan.

Antara elemen yang perlu dimasukkan dalam setiap program pembangunan adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan kefahaman golongan itu terhadap asas kewujudan negara, budaya bangsa dan realiti sosial serta ekonomi.

Selain itu katanya, belia juga perlu diperkasakan dari segi kreativiti serta inovasi elemen sains dan teknologi sepenuhnya sebagai usaha melahirkan golongan celik teknologi maklumat.

“Tidak terkecuali dalam melahirkan golongan belia kelas pertama, unsur jati diri perlu diterapkan dalam program pembangunan belia yang merupakan mekanisme terbaik mewujudkan belia yang teguh pendiriannya serta mempunyai semangat patriotisme,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »