MAJLIS BELIA MALAYSIA

Teks Ucapan Aluan YB Dato’ Sri Reezal Merican Bin Naina Merican, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, pertama sekali, marilah kita bersama-sama memanjatkan sepenuh rasa takzim dan kesyukuran; di atas keizinan Allah SWT, kita dapat berkumpul di hari yang penuh bermakna ini. Walaupun secara tradisinya, Hari Belia Negara disambut pada 15hb Mei; namun sejajar dengan keadaan semasa pada ketika itu, ia terpaksa ditunda kepada tarikh hari ini.

Bagi pihak KBS, dan seluruh warga belia, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri. Kehadiran YAB di sambutan HBN 2020 ini; merupakan manifestasi keakraban dan kesungguhan kepimpinan utama Negara, untuk menyantuni warga belia.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas kehadiran rakan-rakan Jemaah Menteri. Ucapan penghargaan istimewa dan terima kasih juga kepada YAB Menteri Besar Johor; dan seluruh anggota Exco dan Pengurusan Tertinggi Kerajaan Negeri; di atas kesudian menjadi hos dan tuan rumah kepada acara ini.

Tidak lupa juga, penghargaan dan terima kasih kepada semua pemimpin dan warga belia yang dapat bersama di sini pada petang ini; mahupun yang mengikuti sambutan ini secara maya. Sokongan, dokongan dan kerjasama erat di antara KBS dan pertubuhan belia; menjadi tunjang kepada usaha memperkukuh idealisme belia Malaysia. Terima kasih MBM. Terima kasih kepada semua pertubuhan belia yang merupakan rakan strategik kepada KBS.

Memang benar, HBN 2020 cukup berbeza dan tidak seperti kelazimannya. Perbezaan ini terpaksa kita lalui, kerana kita masih berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19. Namun, ia sama sekali tidak bermakna sambutan tahun ini kurang penting berbanding tahun-tahun sebelumnya. Malahan, saya yakin, HBN 2020 tetap memberi makna yang luar biasa kepada semua warga belia di luar sana.

YAB Tan Sri, Hadirin Hadirat Yang Dihormati,

Tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan mengangkat frasa “Dekad Ini; Dekad Anda” sebagai tema sambutan HBN. Tema “Dekad Ini; Dekad Anda” ini wajar difahami dalam tiga (3) perspektif teras: –

Pertamanya, tema ini menyatakan pengesahan dan penetapan iltizam pihak kerajaan. Menyedari impak dan kesan COVID-19; kerajaan perlu menyusun atur dan merencana semula masa depan ekonomi Negara; berasaskan kepada keperluan dan aspirasi generasi muda.

Tindakan ini amat wajar dan munasabah untuk dilakukan. Hampir 47 % populasi Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur bawah 40 tahun. Jika diukur kekuatan sumber manusia, hampir 68 % “labour force negara ini juga ditunjangi oleh mereka yang berumur bawah 40 tahun.

Yang nyata, iltizam ini sudahpun diterajui oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri. Dengan pelaksanaan PRIHATIN, Prihatin Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA); kesemuanya berhasrat menjaga dan memelihara kepentingan generasi muda.

Jika sebelum ini mereka yang berumur 40-tahun ke bawah, tidak diberikan perhatian; melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN);  lebih 4 juta penerima di kalangan belia menerima manfaat langsung. Jumlah ini belum termasuk bantuan one-off, subsidi upah, bantuan dana PKS dan sebagainya. Ini semua, bukti kesungguhan Kerajaan membantu warga Belia dan generasi muda.

Teras kedua pula merujuk kepada keperluan generasi muda dan warga belia sendiri menjiwai aspek perjuangan dan kerja keras. Nothing worth having, comes easy. Ibarat kata, “yang bulat tidak datang bergolek; yang pipih tidak datang melayang”.

Elemen jatidiri, semangat bersaing, kesungguhan mencari ilmu dan kemahiran; mesti datang daripada dalam jiwa belia sendiri. Memang benar, kerajaan boleh menyediakan peruntukan, ruang dan peluang; tetapi apa “makna” peruntukan, ruang dan peluang baru; jika Belia sendiri enggan bangkit dan bingkas mempertingkat potensi mereka sendiri.

Teras yang ketiga – merujuk kepada keperluan semangat kerjasama yang lebih erat, di antara pihak kerajaan, warga belia; dan masyarakat umum secara keseluruhannya.

Anak muda dan generasi belia perlu bijaksana dalam menilai suasana dan naratif yang ada di sekeliling kita. Dalam tempoh yang sukar ini, kita perlu mengurangkan agenda politik peribadi. Masa depan Negara jauh lebih penting! Survival negara dan bangsa kita, jauh lebih signifikan!

Dekad ini, WAJIB menjadi “dekad” kebangkitan Malaysia; yang didorong sepenuhnya dengan “wisdom baru” warga Belia.

YAB Tan Sri, Hadirin Hadirat Yang Dihormati,

Tidak mudah menjadi pemimpin ketika mana negara dan dunia berhadapan dengan cabaran COVID-19 ini. Saya sendiri, yang diamanahkan untuk menerajui KBS, merasai keresahan sebenar di kalangan warga belia.

Disebabkan “realiti” dan “suasana” sosio-ekonomi semasa inilah; KBS perlu keluar daripada “kerangka amalan biasa” dalam membantu golongan belia dan anak muda. Sejak awal lagi, KBS telah menggerakkan potensi sebenar “inisiatif rentas Kementerian”. Kita perlukan model dan kaedah kerjasama yang lebih kemas dan tuntas.

Oleh sebab itu, antara inisiatif yang telah dan sedang KBS usahakan dengan cukup bersungguh: –

  • Skim Perantisan Nasional (SPN) di peringkat permulaan ini bersama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia;
  • Program MyGIG bersama MDEC (Kementerian Komunikasi dan Multimedia);
  • MyCareerFair;
  • Bootcamp;
  • Program Reskilling/Upskilling dan Cross Skilling;
  • Program Keusahawanan dan Protégé (Ready to Work) Bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC);
  • Program Agropreneur Muda bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI);
  • Inisiatif Usahawan Muda Kota; kerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP);
  • Dan banyak lagi Kementerian yang sedang diusahakan dan bakal menyusul;

Kesemua program dan ikhtiar ini dilaksanakan khusus untuk membantu generasi muda dan warga belia berhadapan dengan situasi COVID dan pasca-COVID nanti.

YAB Tan Sri, Hadirin Hadirat Dihormati,

Apa sahaja masalah, isu dan cabaran yang ada; kita mesti membulatkan tekad dan iltizam untuk bangkit sebagai bangsa yang berjaya. “Dekad” akan datang ini, pastinya menjadi “dekad” paling mencabar kepada negara kita.

Banyak kajian antarabangsa melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai potensi “tenaga muda” yang hebat dan luar biasa. Kita di antara negara yang disebut sebagai mempunyai fenomena “bonjolan belia” (youth bulge). Fenomena yang memungkinkan kita bangkit sebagai potensi ekonomi penting untuk masa hadapan. Namun begitu, sebelum niat itu menjadi kenyataan, kekuatan dan keutuhan anak muda dan belia, mesti diperkukuh bermula sekarang.

Belanjawan 2021 pastinya menjadi pemula kepada “asas kekuatan” generasi muda dan warga belia untuk dekad akan datang ini. Belanjawan 2021 wajar berorientasikan kepentingan belia. Belanjawan 2021 nanti, pastinya memberi harapan baru kepada warga belia. Saya amat yakin dan percaya, YAB Perdana Menteri pastinya mempunyai niat dan iltizam yang sama.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada semua yang hadir. Terima kasih YAB Perdana Menteri. Thank you, Sir. Terima kasih MB Johor. Terima kasih semua yang terlibat di dalam pelaksanaan HBN ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin membacakan bait-bait sajak seorang anak Johor, Sasterawan Negara (Allahyarham Usman Awang):

Kawan-kawanku yang dikasihi

di belakang duri di depan api

kita tidak bisa undur lagi

duri dan api, tajam panasnya kita hadapi

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah

di mana air mata tidak akan menitik tumpah

sebab kebulatan ikrar tak akan berubah

apa saja, kita tidak akan menyerah.

Akhir sekali, saya menyeru anak-anak muda untuk menyahut cabaran membina negara. Ayuh anak muda, kita bangkit bersama-sama mengatur langkah untuk memperkasakan tanah air tercinta.

Maka dengan itu, saya ucapkan, Selamat Hari Belia Negara 2020.

“Dekad Ini, Dekad Anda”

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »