MAJLIS BELIA MALAYSIA

RUU Rukun Negara? Prinsip Rukun Negara ke-6

Ulasan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) di Radio BERNAMA

Saya ditemuramah oleh Radio Bernama dalam ‘Segmen Apa Kata Anda’ sebentar tadi berkenaan cadangan untuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Rukun Negara berikutan cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui Menterinya Dato’ Saifuddin Abdullah agar badan bukan kerajaan (NGO) secara aktif menganjurkan program berbentuk memupuk perpaduan dalam kalangan kaum dengan menyelitkan elemen Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Secara asasnya, Rukun Negara adalah perkara yang harus difahami, dihayati dan dipraktiskan secara sukarela kerana menurut salah seorang perancang utama Rukun Negara Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie bahawa Rukun Negara adalah Tiang Seri Bangsa. Ia menjadi asas kepada kerukunan, perpaduan, kemakmuran, kestabilan dan kemajuan nusa bangsa. Mukadimah Rukun Negara mengandungi visi cita-cita bangsa dan lima prinsip yang memimpin misi mencapai cita-cita tersebut.

Namun penghayatan Rukun Negara mungkin semakin pudar dan penghayatan dalam kalangan belia bersifat hanya sederhana maka seruan pembaharuan semangat perlu dipanggil melalui salah satunya saluran perundangan. Walaupun perundangan mempunyai konotasi seolah-olah ‘pemaksaan’ dan mempunyai implikasi undang-undang namun ianya harus dianggap positif sebagai suatu ‘wakeup call’ untuk rakyat Malaysia. Setidak-tidaknya ia akan membangkitkan semula kemahuan dan keghairahan untuk berwacana dan menilai semula Rukun Negara sebagai wadah pemersatu bangsa.

Perundangan harus dilihat sebagai salah satu mekanisme pendidikan dan bukan bersifat menghukum bagi menyusun sistem peraturan atau norma yang perlu diikuti oleh anggota masyarakat khususnya yang perlu ditekankan kepada generasi pewaris bangsa.

Selain perundangan, terdapat juga sekumpulan geligawan negara yang mencadangkan Rukun Negara dijadikan sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia. Ini juga wajar diperdebatkan dan dipertimbangkan.

Sementara menunggu proses penggubalan RUU yang pasti mengambil masa yang lama, maka paling penting peranan NGO seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) dan bala tenteranya untuk terus memikirkan bersama rakan strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mekanisme bagi terus menyuburkan kefahaman, penghayatan dan amalan Rukun Negara dalam bentuk aktiviti dan praktis yang mudah diterima oleh generasi muda semasa. Sekolah Rukun Negara anjuran KBS wajar diteruskan bahkan program-program menjurus ke arah memahami ruh Rukun Negara seperti berkaitan perpaduan, patriotisme, kesukarelawanan dan kepimpinan harus digandakan.

MBM mencadangkan Rukun Negara bukan sahaja dilafazkan di perhimpunan pagi sekolah-sekolah bahkan di program-program penting anjuran gerakan belia. Menarik apabila membaca catatan saudara Eddin Khoo dalam buku ‘Selayang Pandang Rukun Negara’ apabila beliau mencoretkan saranan Profesor Syed Hussein Alatas agar Rukun Negara ditambah rukun keenamnya iaitu “Mengutuk gejala rasuah dengan terang-terangan”. Ternyata saranan ini amat bernas dan releven kerana Malaysia masih dibelenggu dengan gejala yang merosakkan masa depan anak watan ini. Saranan ini jika ditiupkan semula mampu memberi semangat pembaharuan kepada Rukun Negara dan semangat penyatuan rakyat Malaysia bagi memerangi rasuah habis-habisan.

Bertarikh : 27 Januari 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »