Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera,
Salam Menggerak Belia,
Salam Malaysia Madani!
Saudara & Saudari sekalian,
Mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) dan seluruh kepimpinan MBM, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara 2025 kepada semua belia, beliawanis serta seluruh penggerak belia dari segenap pelosok tanah air. Sambutan ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada semua anak muda, belia dan beliawanis negara terhadap sumbangan, tenaga, semangat serta penglibatan golongan muda dalam mencorak masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Hari ini juga bukanlah sekadar satu perayaan simbolik semata-mata, sebaliknya ini adalah hari terbaik kita semua untuk memperbaharui tekad dan iltizam kita sebagai generasi penerus didalam negara ini didalam membangun negara dan memperkukuh jati diri bangsa. Kita bukan sekadar pewaris, kita adalah pemimpin masakini dan pelaksana cita-cita besar Malaysia Madani ini.
Tahun ini juga amat istimewa buat Majlis Belia Malaysia apabila kita bakal menyambut ulang tahun ke-77 penubuhan MBM pada bulan 23 Julai akan datang. Sejak 1948, MBM telah secara terus menjadi nadi penggerak pembangunan belia negara tidak kira di akar umbi mahupun persada antarabangsa. MBM juga telah secara konsisten menjadi gedung pencetak kepimpinan utama negara. Ulang tahun ini bukan sekadar angka, tetapi simbol kepada keteguhan perjuangan dan iltizam kita dalam memastikan suara belia terus didengar, dihormati dan diangkat di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Saudara Saudari sekalian,
Jika dahulu Prof. Syed Hussein Alatas pernah menggambarkan wujudnya sebuah masyarakat yang dipenuhi kejahilan, hidup dalam ketidakpastian, dan sarat dengan sikap JADONG, yakni Jahat, Bodoh dan Sombong. Maka cabaran yang dihadapi generasi muda hari ini tidak kurang hebatnya. Generasi kini berhadapan dengan tekanan dan perubahan yang kompleks dari pelbagai sudut, sehinggakan dunia moden diklasifikasikan di bawah konsep BANI, iaitu Brittle (rapuh), Anxious (penuh kegusaran), Non-linear (tidak berstruktur tetap) dan Incomprehensible (sukar difahami).
Situasi ini menuntut Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku badan induk pertubuhan belia yang mewakili suara, mata dan telinga anak muda Malaysia seperti yang termaktub dalam Akta Pertubuhan Belia & Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) untuk terus berinovasi dan kreatif dalam memperjuangkan kebajikan, keperluan serta kehendak belia Malaysia.
Lebih daripada sekadar menjauhi ciri-ciri JADONG, MBM berperanan memastikan belia dibangunkan dengan nilai integriti, ilmu, dan keterbukaan seterusnya menjadi benteng kepada pengaruh negatif dalam masyarakat yang semakin mencabar.
Percayalah, MBM akan terus menggembleng segala kekuatan dan usaha untuk memastikan kepentingan belia Malaysia terus dibela selaras dengan slogannya; “Belia Bertindak untuk Kebenaran dan Keadilan.”
Bagi pergerakan belia pula, tahun ini boleh dianggap sebagai antara tahun paling mencabar dan kritikal, terutamanya dalam mempersiapkan transisi kepimpinan menjelang pelaksanaan had umur baru daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
Sebagai respon terhadap perubahan ini, MBM mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan ‘jambatan’ perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diteruskan dengan harapan agar kepentingan pergerakan belia dan kepentingan negara dapat diseimbangkan.
MBM telah melancarkan program Transisi Madani 30 (TM30), satu inisiatif latihan kepimpinan secara besar-besaran kepada semua badan gabungan MBM. Program ini bertujuan mengenal pasti dan melatih bakat muda di bawah umur 30 tahun, untuk diserapkan ke dalam barisan kepimpinan semua badan gabungan.
Inisiatif Reach Out 2.0 turut diteruskan bagi tahun kedua, sebagai komponen mempromosikan “Jom Masuk Belia” satu langkah strategik bagi menarik belia yang masih belum berpersatuan agar turut serta dalam gerakan belia arus perdana.
Saudara Saudari sekalian,
MBM menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif serta fokus utama KBS di bawah pimpinan YB Hannah Yeoh dan YB Adam Adli pada tahun 2025 ini dengan memberikan keutamaan isu kesejahteraan belia khususnya di dalam membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan belia yang mana belia masih lagi menjadi kelompok utama terjebak di dalam masalah ini. MBM bersedia dengan segala kekuatan yang ada di akar umbi melalui 41 badan gabungan kebangsaan dan 106 Majlis Belia Daerah untuk membantu kerajaan untuk sama-sama membanteras musuh nombor satu negara ini serta berharap agar fokus membanteras isu ini bukan sahaja hanya diletakkan di pundak KBS tetapi juga jihad memerangi dadah ini harus datang dari semua pihak dan Kementerian.
MBM juga mengambil perhatian atas keprihatinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keperluan negara di dalam mempersiapkan belia kita dalam menghadapi cabaran peledakan teknologi yang terlalu pesat, khususnya kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). Untuk itu, MBM dengan kerjasama PepperLab telahpun melancarkan Kelas AI untuk Belia secara percuma dengan mensasarkan 10,000 belia mendapat manfaat daripadanya melalui 50 sesi kelas secara dalam talian. MBM juga sedang dalam rangka untuk mengaplikasikan AI di dalam pengurusan pergerakan belia khususnya pergerakan belia yang berada di bawah naungan MBM. Konvensyen Belia Kebangsaan 2025 dengan tema “Belia & AI: Dari Inovasi ke Dominasi” juga mengambil nafas dan jiwa yang sama iaitu menjadi medan utama menyelaras trajektori belia di dalam industri yang kian pesat membangun ini.
MBM juga menyokong penuh Kepengerusian ASEAN Malaysia bagi tahun 2025 dengan merancang beberapa program berimpak tinggi sepanjang tahun ini. Selaku wakil Malaysia di dalam Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), MBM akan memastikan kepengerusian Malaysia pada tahun 2025 ini dengan memastikan suara belia Malaysia terus berkumandang di peringkat rantau dan memastikan belia Malaysia terus menjadi tunggak di dalam kepimpinan belia di rantau ASEAN ini.
Saudara dan Saudari sekalian,
Dalam kesibukan kita meraikan hari keramat, Hari Belia Negara 2025, kita tidak boleh melupakan penderitaan saudara-saudara kita di bumi Gaza. Setiap tahun pada 15 Mei, dunia akan diingati dengan peristiwa Nakbah, satu detik hitam dalam sejarah kemanusiaan yang menyaksikan pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari tanah air tercinta mereka. MBM menzahirkan solidariti penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menyeru seluruh belia Malaysia untuk terus menyokong usaha memperjuangkan keadilan, kemanusiaan dan hak asasi sejagat. Dari Sungai ke Senggara, Palestin Pasti Merdeka!
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan selamat menyambut Hari Belia Negara 2025. Marilah kita bersama-sama menyemarakkan sambutan ini di seluruh peringkat – dari daerah hingga ke peringkat kebangsaan.
Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan akan dilaksanakan pada 14-16 Jun 2025, bertempat di Dataran Merdeka dan saya menjemput semua belia dan beliawanis seluruh negara untuk sama-sama meraikan sambutan peringkat kebangsaan nanti.
Kerjasama erat antara belia, kerajaan dan masyarakat Madani akan memastikan belia terus menjadi nadi utama pembangunan negara.
Selamat Hari Belia Negara 2025
“Belia Malaysia Yakin Boleh!”
Sekian,
Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid
Presiden
Majlis Belia Malaysia
15 Mei 2025