MAJLIS BELIA MALAYSIA

PENDIRIAN MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) BERHUBUNG ISU PEMANSUHAN UPSR DAN PMR

KENYATAAN AKHBARSDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

PENDIRIAN MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) BERHUBUNG
ISU PEMANSUHAN UPSR DAN PMR

Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta supaya kerajaan mengkaji semula cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencetuskan pelbagai reaksi dan emosi dalam masyarakat terutamanya warga pendidik.

MBM beranggapan Peperiksaan UPSR merupakan peperiksaan penting yang perlu diteruskan kerana ia dapat menilai keupayaan murid sepanjang berada di sekolah rendah sebelum memasuki alam sekolah menengah. Peperiksaan awam secara standard ini mampu memperlihatkan kualiti sebenar pengurusan akademik dan ko-akademik sekolah untuk diberi pengiktirafan pihak kementerian. Peperiksaan UPSR perlu dibuat penambahbaikkan dari segi penilaian yang bersifat holistik dan tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata. Dengan ini, pelajar berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh atau institusi lain yang bersesuaian dengan kelulusan yang diiktiraf kualiti dan standardnya. Penilaian berasaskan sekolah perlu dimantapkan dan apabila sistem pendidikan negara sudah bersedia menerima perubahan, maka ia perlu dibuat secara berperingkat dan bukannya pemansuhan secara ’ad-hoc’ seperti ini kerana dikhuatiri perubahan drastik akan mengakibatkan lebih banyak kepincangan pendidikan daripada manfaat yang bakal diperolehi. Bagi peperiksaan PMR pula, MBM menyokong agar ianya dimansuhkan kerana tidak ada keperluan mendesak atau relevannya keputusan PMR itu diguna pakai dalam mana-mana urusan yang melibatkan pencapaian murid. Walau bagaimanapun, proses pemulihan, penggayaan, disiplin dan kaunseling perlu diberi penekanan dan ditingkatkan di peringkat pertengahan sekolah menengah sebelum pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MBM melihat wujud kecenderungan kerajaan dalam membuat keputusan terhadap sistem pendidikan yang sering mengalami perubahan mengikut dasar-dasar pendidikan yang digubal dan dilihat mampu memberi dan meningkatkan prestasi dan keupayaan pelajar dalam pelbagai bidang. Antaranya PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan), Sekolah Berprestasi Tinggi, NKRA yang mana kebanyakan dasar ini menjurus kepada usaha meningkatkan tahap keupayaan dan kecemerlangan sekolah. Sekolah dinilai dari segi pencapaian akademik, kokurikulum, kebestarian dan juga aspek lain yang bersesuaian mengikut piawai yang ditetapkan.

Selain perancangan yang mantap, Kementerian Pelajaran juga perlu memberi penekanan dan keutamaan kepada proses pelaksanaan dan pemantauan agar segala dasar yang dirancang itu dapat meninggalkan kesan yang besar dan bermakna kepada matlamat kecemerlangan institusi pendidikan itu sendiri. Oleh itu, dengan ruang dan masa yang cukup ia mampu mengatasi permasalahan yang timbul akibat dari perlaksanaan tersebut yang melibatkan keperluan dana, kemudahan infrastruktur pendidikan dan lainnya.  Di samping itu, urusan pemantauan yang berkala dalam membantu proses penambahanbaikan harus ditingkatkan.

MBM melihat dalam usaha kementerian mengurangkan kos akibat daripada kegawatan ekonomi masa kini, cadangan memansuhkan peperiksaan bukanlah satu jalan terbaik kerana sistem peperiksaan UPSR sedia ada ini telahpun mempunyai pengurusan peperiksaan yang berkualiti dan mantap.

Antara cadangan dalam usaha mengurangkan penggunaan kos kewangan Kementerian Pelajaran ialah dengan memansuhkan bayaran elaun kepada guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang dilihat kurang relevan memandangkan mata pelajaran Matematik dan Sains  dalam Bahasa Inggeris akan ditukar semula ke dalam Bahasa Melayu. Berlaku diskriminasi di mana guru-guru Bahasa Melayu juga dilihat berperanan penting dalam memastikan tahap pendidikan di Malaysia juga mencapai standard yang ditetapkan tetapi tidak mendapat apa-apa imbuhan. Dengan itu, adalah wajar elaun ini ditarik balik dan digunakan oleh kementerian dalam urusan meningkatkan kemudahan dan kebajikan pelajar secara keseluruhan dan bukan mengikut kehendak atau keperluan golongan tertentu sahaja.

Kesimpulannya, setiap dasar yang digubal perlu dilaksanakan secara berperingkat dan keputusan sesuatu dasar yang baru harus memikirkan tentang kemungkinan berlakunya pertindihan dan menjejaskan kelancaran perjalanan proses dasar sedia ada.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia

Tarikh    : 28 Jun 2010

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »