KUALA LUMPUR 5 Dis.2013 – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengesa agar kerajaan mengkaji semula kenaikan kadar purata tarif elektrik sebelum dikuatkuasakan Januari depan.
Presiden Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohd. Rapiee berkata, pihak terbabit sewajarnya mengambil kira pandangan masyarakat umum dan bertindak berdasarkan kemampuan rakyat.
Sekiranya kenaikan tarif elektrik ini berkuat kuasa, rakyat secara amnya memerlukan jaminan daripada kerajaan mengenai kesannya terhadap kos-kos lain terutamanya harga barang.
Jadi apakah jaminan kerajaan untuk mengawal peningkatan kos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau peningkatan sebanyak 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.
Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen kWj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.
Tambahnya lagi, kenaikan tersebut akan memberi kesan terutama kepada generasi muda yang terpaksa menanggung peningkatan kos hidup.
Tidak cukup dengan bebanan hutang pelajaran, kini mereka juga terpaksa menanggung beban peningkatan kos kehidupan pula,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Maliki turut menggesa pihak kerajaan agar tidak mengeluarkan kenyataan terutama di media sosial bahawa peningkatan tarif ini tidak membebankan rakyat.
Kenyataan sebegini hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat terutamanya generasi muda yang celik maklumat sekarang ini.
Ini bukanlah cara terbaik untuk mendekati golongan ini yang sememangnya berperanan penting dalam mencorakkan kerajaan pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berperanan sebagai syarikat tunggal elektrik di negara ini perlu memastikan rakyat tidak terbeban dengan tarif elektrik yang dikenakan.
TNB adalah pembekal utama, yang memperoleh keuntungan besar saban tahun.
Jadi dengan kadar yang besar ini seharusnya mereka mengkaji semula kenaikan ini sama ada mempunyai signifikan kukuh atau tidak,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kenaikan tarif elektrik memberi kesan kepada imbangan ekonomi terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Ini akan membebankan rakyat dan lebih-lebih lagi sebelum ini mereka turut dibelenggu dengan kenaikan harga minyak dan gula.